Archive for November, 2005


‘Wahhabi’ berleluasa-Satu Fitnah

Wahhabi berleluasa???-Satu fitnah!!!


Assalamualaikum WBT. Mereka yang membaca akhbar Mingguan Malaysia 27-11-2005 pasti mengetahui isu ini. Seorang pendakwah yang terkenal dengan lantangnya menyelar perkembangan sebuah gerakan yang dikenali sebagai ‘Wahhabi’ yang kononnya terkeluar dari Aqidah Ahl as-Sunnah wa Al-Jamaah. Bahkan dengan bangga di dada akhbar itu didedahkan berbagai-bagai fahaman ‘Wahhabi’. Disebutkan pula ‘wahhabi’ ini mengganggu urusan umat Islam di Malaysia yang sudah sebati dengan mazhab imam asy-Syaffie (?). bahkan disebut pula kononnya ‘wahhabi’ ini boleh meruntuhkan sesebuah kerajaan sebagaimana yang berlaku kepada empayar Uthmaniyyah. dan ada pula seorang cerdik pandai berkata bahawa kewujudan ‘wahhabi’ adalah untuk menghapuskan amalan khurafat maka apa perlunya gerakan tersebut di bumi Malaysia ini. Saya tidak akan mengluas panjang tulisan mereka ini. Bahkan saya juga tidak akan mempersoalkan apakah motif berita ini dipampang di muka depan akhbar. Akan tetapi tulisan saya ini hanya akan mengajak pembaca sekalian untuk menilai beberapa tuduhan yang dilemparkan ke atas mereka yang digelar ‘wahhabi’ itu.

Pertamanya, saya ingin mengajak pembaca sekalian melihat satu tuduhan yang amat berat bagi saya iaitu ‘wahhabi’ menolak berdzikir. Saya hairan, bahkan takjub bagaimana alasan ini boleh timbul. Apakah mereka terlalu jahil dengan gerakan ‘wahhabi’ atau mereka mendengar dari lidah mulut manusia yang memang memusuhi ‘wahhabi’ atau mereka melihat sendiri. Tuduhan bahawa ‘wahhabi’ menolak dzikir adalah dusta. Yang ‘wahhabi’ tolak ia dzikir dengan lafaz yang tiada asalnya dari Rasulullah SAW dan dengan cara yang tiada asalnya. Tuduhan bahawa golongan ‘wahhabi’ tidak berdzikir adalah satu pembohongan. ‘Wahhabi’ berdzikir tapi dengan suara yang perlahan. Begitu juga selepas solat, ‘Wahhabi’ berdzikir sendiri-sendiri dan bukannya mengikut imam seperti mana yang diamalkan oleh masyarakat di negara kita. ‘Wahhabi’ melihat dzikir sendiri-sendiri itu adalah yang sunnah dan bukannya dengan mengikut imam. Realiti ini jauh terpesong dari apa yang disiarkan di dada akhbar kononnya ‘Wahhabi’ menolak berdzikir kepada Allah. Adakah berdzikir itu hanya dengan mengikut imam, dengan suara yang kuat. Adakah mereka yang menuduh ‘wahhabi’ tidak berdzikir itu terlalu jahil atau buta hingga tidak melihat apa yang berlaku?

Keduanya, mereka menuduh ‘wahhabi’ menolak berdoa kepada Allah. Di mana buktinya? Yang ditolak ialah kebiasaan masyarakat kita yang berdoa dengan kuat seolah-olah Allah itu tuhan yang pekak. Memang terdapat sebahagian tempat yang Rasulullah SAW berdoa dengan kuat tapi bukanlah setiap kali berdoa Rasulullah SAW berdoa dengan kuat. Adakah mereka fikir mereka yang berfahaman ‘wahhabi’ itu terlalu dungu untuk mengharamkan berdoa kepada Allah. Adakah mereka lupa bahawa di dalam solat juga kita telah berdoa. Pasti ada yang merasa hairan kenapa sebahagian mereka yang digelar ‘wahhabi’ selepas solat dan habis berdzikir akan terus bangun untuk solat sunat. Jadi dengan itu mereka menuduh kita tidak berdoa. Semudah itu tuduhan mereka. Dimanakah nas yang sahih yang mewajibkan kita berdoa selepas solat. Apakah kamu yang menuduh ‘wahhabi’ menolak berdoa itu tahu apa yang ‘wahhabi’ pohon kepada Allah ketika bersolat, ketika sujud, ketika selepas tahiyyat akhir dan sebelum salam. Adakah kami perlu berdoa dengan cara yang kuat (seolah-olah Allah itu pekak dan tuli) hanya untuk membuktikan bahawa kami juga turut berdoa.

Ketiga, mereka menuduh ‘wahhabi’ tidak berqunut. Jadi mereka yang tidak berqunut itu ‘wahhabi’ dan secara automatik terkeluar dari manhaj Ahl as-Sunnah wa al-Jamaah. Apakah manusia-manusia yang menuduh ini buta bahawa selain mazhab asy-syaffie, mazhab lain tidak menyuruh ber’qunut’ ketika subuh secara berterusan sebagaimana yang kita lakukan. sanggupkah kalian mengatakan bahawa imam-imam besar itu terkeluar dari Ahl as-Sunnah wa al-Jamaah. Bahkan kenapa kalian yang menuduh tidak melayari sahaja web-web ‘wahhabi’ untuk melihat kenapakah mereka menolak amalan qunut secara berterusan? Kalau tidak tahu biar saya berikan beberapa web ‘wahhabi’ yang ada menyediakan analisis ke atas pendapat qunut berterusan antaranya ialah http://almanhaj.or.id . Mereka yang menuduh ‘wahhabi’ dengan sesuka hati membid’ahkan merek yang membaca qunut sepatutnya meneliti kembali kenapa ‘wahhabi’ menolak amalan qunut secara berterusan sebagaimana yang diamalkan di bumi Malaysia ini.

Keempat, tuduhan yang hina bahawa ‘wahhabi’ menolak syafaat. Begitu dangkal tuduhan mereka. Mereka seolah bercakap tanpa pernah merujuk kepada kitab-kitab ‘wahhabi. Di sini saya sertakan url bagi sebuah web ‘wahhabi’ yang jelas membuktikan ‘wahhabi’ tidak menolak syafaat cuma yang kami tolak ialah syafaat yang bathil, yang bertentangan dengan al-Quran dan as-Sunnah. Saya tidak mahu berbicara panjang soal syafaat ini cukup sahaja dengan url ini http://assunnah.or.id/artikel/tauhid/17syafaat.php untuk kalian baca dan lihat pandangan Muhammad bin Abdul Wahhab tentang syafaat.

Kelima, tuduhan dusta kononnya ‘wahhabi’ menolak sunnah. Saya hairan siapakah yang sebenarnya menolak sunnah. ‘Wahhabi’ atau kaum jumud yang meletakkan kata-kata tok guru mereka melebihi kata-kata Rasulullah SAW? Saya hairan, jika benar ‘wahhabi’ menolak sunnah, buat apalah tokoh hadith yang dianggap ‘wahhabi’ hardcore berhempas pulas menyusun kitab ‘Sifat Solat Nabi’ di mana setiap bab solat akan disertakan dengan nas-nasnya. Saya hairan, tokoh-tokoh ‘wahhabi’ di Malaysia inilah yang berhempas pulas membuat kuliah-kuliah hadith seperti Sahih Bukhari, Muslim, kitab sunan dan lain-lain. Tapi malang dengan angkuh golongan yang berpenyakit hati ini memfitnah kononnya ‘wahhabi’ menolak sunnah. Siapakah penolak sunnah? Kalian lihat sahaja mereka yang menuduh ‘wahhabi’ ini menolak sunnahlah yang bila dibawakan hujah-hujah dari al-Quran dan as-Sunnah yang menyalahi amalan mereka maka dengan cepat mereka akan berkata ‘ Tok-tok guru pun buat, takkanlah mereka tak tahu’. Lihat mereka melebihkan tok-tok guru mereka melebihi Rasulullah SAW. Hal ini juga telah disentuh oleh seorang pendakwah yang dicop sebagai ‘kepala wahhabi’ di Malaysia di dalam Majalah I yang boleh dibaca di url ini http://www.ibn-qayyim.info/artikel/viewtopic.php?t=47 . Bahkan di url ini pembaca akan dapat melihat jawapan kepada tuduhan bahawa ‘wahhabi’ itu pemusnah mazhab dan menghina ulama-ulama mazhab.

Di dalam akhbar Utusan hari ini 28-11-2005, sekali lagi nama Wahhabi dikaitkan dengan elemen negatif. Kali ini ‘wahhabi’ dikaitkan dengan Noordin Mat Top, manusia yang paling dikehendaki oleh pihak berkuasa Asia Tenggara dan Amerika. Noordin Mat Top yang dituduh terlibat dalam pengeboman-pengeboman bersama Dr. Azahari Husin disebut sebagai antara penyebar fahaman ‘wahhabi’ di Malaysia. Nama mereka dikaitkan dengan Abdullah Sungkar yang dikatakan membawa fahaman ‘wahhabi’ ke Malaysia. Maka dengan mudah mereka mengaitkan ‘wahhabi’ dengan pengganas dan pembunuhan insan-insan yang tidak berdosa. Jika benar sekalipun mereka itu semua berfahaman ‘wahhabi’, apa perlu dikaitkan dengan ‘wahhabi’ jika mereka benar-benar pengganas. Hanya kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Kenapa tidak disiarkan kenyataan-kenyataan ulama-ulama ‘wahhabi’ yang menentang pengeboman-pengeboman ganas itu. Jika anda mahu melihat pandangan-pandangan ulama ‘wahhabi’ tentang pengeboman itu, pembaca boleh melayari sendiri di http://almanhaj.or.id/index.php?action=more&article_id=1663&bagian=0 http://almanhaj.or.id/index.php?action=more&article_id=1664&bagian=0. Anda lihat, ulama-ulama ‘wahhabi’ sendiri mengecam kegiatan keganasan tetapi tiba-tiba mereka pula dikaitkan dengan pengganas.

Sebagaimana yang disebut dalam akhbar tu sendiri, wujudnya gerakan ‘wahhabi’ adalah kerana fahamn-fahaman khurafat yang tersebar. Maka seorang cerdik pandai di dalam akhbar bertanya apa pula perlunya ‘wahhabi’ di bumi Malaysia. Adakah dia fikir bumi Malaysia ini sudah suci dari amalan khurafat. Adakah dia mahu menunggu golongan penyembah kubur bermaharajalela di Malaysia dan ketika itu barulah dia terhegeh-hegeh mencari jalan peneylesaian. Adakah dia mahu melihat fahaman sesat dan menyesatkan seperti Nur Muhammad, Martabat 7 tersebar luas dan ketika itu baru dia mahu bertindak. Ketika golongan khurafat ini sudah menjadi barah, ketika itu baru mahu mencari penawar. Atau dia mahu golongan yang mendakwa mereka golongan sufi (bukan semua golongan sufi sesat) yang akan memuja keranda sambil percaya bahawa roh wali mereka akan pulang bermaharajalela. Atau dia mahu golongan songsang yang berdzikir sambil menari, menghentak-hentak kaki ke lantai dan berkelakuan seperti orang gila menguasai bumi Malaysia ini.

Bukanlah hairan jika kita ketahui selain daripada tuduhan-tuduhan di atas, terlalu banyak tuduhan dilemparkan ke atas ‘wahhabi’ antara yang paling popular ialah tuduhan sebagai penghapus mazhab, bahkan yang lebih teruk menuduh aqidah ‘wahhabi’ sebagai aqidah mujassimah dan musyabbihah. Tuduhan-tuduhan yang terlalu banyak ini tidak saya jawab di sini. Sesiapa yang mahu melihatnya dan mahu melihat jawapan-jawapan dari pihak ‘wahhabi’ sendiri boleh melayari web-web ‘wahhabi seperti http://al-ahkam.net , www.ibn-qayyim.info, dan banyak lagi website seumpamanya yang anda akan menemui jawapan kepada fitnah-fitnah yang dilemparkan oleh mereka.

Saya mengakui bahawa ustaz-ustaz yang di ‘cop’ sebagai ‘wahhabi’ itu tidak pernah mendakwa mereka ‘wahhabi’ bahkan saya juga tidak pernah menggelar mereka begitu. Cuma saya terpaksa menggunakan perkataan ‘wahhabi’ kerana perkataan inilah yang masyhur dilemparkan kepada mereka. Dan bila disebut ‘wahhabi’ di Malaysia sudah pasti tiada nama-nama lain yang akan dikaitkan selain ustaz -ustaz tersebut. Saya merasakan sudah cukup tulisan saya untuk pembaca melihat siapakah pendusta yang bertopeng agama. Amat mendukacitakan mereka ini bukanlah golongan yang bodoh dan dungu, sebaliknya mereka yang menabur fitnah ini datang dari golongan berpendidikan dan dipandang tinggi masyarakat. Apakah tujuan tuduhan-tuduhan ini dilemparkan tidak saya ketahui. Adakah kerana iklim politik sekarang? atau mencari populariti? atau mahu melindungi fahaman yang bathil? Kita berdoa semoga Allah membantu kita dan memberikan kemenangan dan semoga mereka yang melemparkan tuduhan-tuduhan palsu ini akan diberi hidayah oleh Allah. Wallahu’alam

Mohd Masri Mohd Ramli

28-11-2005

Who Is bared Naked

http://www.jeffooi.com/archives/2005/11/who_is_bared_na.php

Assalamualaikum WBT.

Kita dicerca lagi. Malam tadi TV3 menyiarkan berita tentang salah laku yang dilakukan ke atas seorang perempuan yang jika dilihat dari susuk tubuhnya adalah seorang cina. Jadi apa kaitan dengan kita umat Islam. Malang sekali bila yang berada di hadapan wanita cina itu sambil memberi arahan ialah seorang polis islam yang memakai tudung. Dan lebih malang, saya telah mendonwload rakaman tersebut dan insiden itu pula berlatar-belakangkan bacaan ayat al-Quran. Saya tidak tahu bagaimana bacaan ayat al-Quran yang dibaca dengan kuat itu boleh dibaca ketika insiden hina itu sedang berlaku. Apakah pendirian kita dalam isu ini. Menuding jari kepada pihak-pihak yang mahu memalukan Islam atau kita turut sama bangkit menyetakan bantahan kepada isu yang memalukan ini. Ia memberi imej buruk kepada negara bahkan lebih-lebih lagi umat Islam. Pendirian saya:

1) Kita umat Islam jangan bermain dengan api- Jangan cuba mereka seribu satu alasan jika benar yang melakukannya ialah orang Islam. Jalan paling selamat ialah kita katakan sahaja bahawa sesiapa sahaja yang melakukannya sama ada muslim ataupun bukan muslim tindakan seperti itu adalah satu tindakan yang hina.

2) Kita menunggu sahaja siasatan polis kerana bermacam-macam perkara boleh berlaku dengan teknologi sekarang.

Akan tetapi saya melihat satu perkara, kenapa latar belakangnya bacaan ayat al-Quran. Adakah di balai polis al-Quran di baca dengan kuat. Atau adakah pihak yang merakamkan aksi tersebut merasa terlalu gementar sehingga dia terpaksa menenagkan hati dengan membaca al-Quran. Dan hairan juga bacaan sodaqallahul’azim yang biasanya masyarakat kita baca bila sudah habis membaca al-Quran dibaca ketika rakaman tersebut hampir tamat. Saya merasa hairan. Adakah bacaan tersebut memang wujud di lokap itu ataupun ia dimasukkan mereka selepas merakamkan insiden itu ataupun memang ada orang di lokap tersebut yang membaca al-Quran. Saya hairan!! Nampaknya saya perlu lebih teliti untuk melihat surah apa yang dibaca ketika insiden itu berlaku. Ya ketika menulis ini saya memasang speaker PC saya dengan kuat dan saya telah tahu bahawa surah yang dibaca ialah surah an-Nas.

Saya tidak hairan dengan polis wanita itu tapi saya hairan dengan bacaan al-Quran itu. Saya tidak mahu membuat apa-apa kesimpulan cuma mereka yang mahu memastikan kesahihan video itu boleh pergi ke blog Jeffoi di atas. Di sana ada link untuk download rakaman insiden tersebut. Wallahu’alam

This is my life

Assalamualaikum WBT.

Hari ni dah 18 Syawal. Puasa enam aku baru dua hari. Tanya kawan-kawan aku yang lain ramai dah habis puasa sunat dan ada yang dah sampai penghujung, aku pulak yang baru nak mula. Tangguh punya tangguh. Bukan apa, awal-awal tu ramai sangat kawan-kawan aku ajak berjalan, pergi sana sini, rempit sana sini. Nak puasa tak elok lak sebab dah pergi rumah diorang mesti diorang ajak makan. Jadi dah pertengahan ni rilek sikitlah. Duduk rumah je.

Aku jadi baby-sitter gamaknya cuti ni. Anak buah aku Imtiaz dah masuk dua bulan, aku kena jaga dia cuti ni sebab mak dia balik rumah dia kat Gombak. Hujung minggu baru balik Tampin tengok anak dia. Terasa penat jugaklah layan si Imtiaz ni. Tapi fikir punya fikir, macam tu jugaklah mak aku jaga aku waktu kecik. Bangun tidur je mesti jerit takpun merengek nak susu. Bila dah rasa jaga budak kecik ni baru sedar punya susah mak kita besarkan kita. Imtiaz ni suka berkepit, kalau nak bagi tidur senang je, aku angkat peluk letak kat bahu, Insya-allah tidurlah dia. Biasalah budak-budak mesti nak manja. Kita kecik-kecik dulu macam tu jugaklah gamaknya.

Rancangan aku cuti ni nak pergi Bukit Mertajam, Dewan Ibnu Qayyim, ada Daurah Pelajar Islami. Tapi memandangkan mak aku sorang kena jaga si Imtiaz ni, takkanlah aku nak pergi macam tu juga. Jadi rancangan tu terpaksa dibatalkan. Mungkin lain kali Insya-Allah tiada aral sampai juga aku kat sana.

Malam tadi dahsyat. Line internet laju, download buku punya banyak dari web www.saaid.net/book . Antara yang aku download buku Sheikh Nasiruddin al-Albani iaitu Tamamul Minnah, Sohih Targhib wa Tarhib, Dhoif Targhib wa Tarhib dan banyak lagi. Yang paling aku suka Musnad Imam Ahmad bi ta’liq Sheikh al-Arnaouth. Banyak gilalah buku kat situ. Sesiapa yang rasa mampu membaca Arab, downloadlah di situ. Insya-Allah puas hati punya.

Sorang kawan aku nenek dia meninggal. Dia dah sms aku tapi waktu tu aku guna simcard lain. Jadi tak tahu apa-apalah aku. Bila borak dengan dia kat Yahoo Messenger baru tahu. Innalillahiwainnailaihiraji’un. Beberapa hari sebelum raya hari tu jiran aku meninggal. dekat UIA PJ dah berapa kali tah aku solat jenazah. Maknanya aku rasa tahun ni tahun paling banyak aku solat jenazah. Dulu waktu kecik-kecik buat tak tahu je bila orang mati. Tak pernah fikirpun nak pergi masjid solatkan. Biasalah kecik-kecik tahu apakan.

+Dari Abu Ayyub al-Anshori RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa berpuasa pada bulan Ramdhan, seterusnya diikuti enam hari di bulan Syawal, maka seolah-olah dia berpuasa setahun (H.R Muslim)

+Niscaya Allah akan mengampuni sebagian dosa-dosamu dan menangguhkan kamu sampai kepada waktu yang ditentukan. Sesungguhnya ketetapan Allah apabila telah datang tidak dapat ditangguhkan, kalau kamu mengetahui.(Nuh:4)

+Dari Aisyah RA: Datang seorang arab kepada Rasulullah SAW lalu dia berkata: Kamu mencium kanak-kanak! Kami mencium mereka." Rasulullah SAW pun berkata: Aku tidak dapat  (memberi rahmat) kepada engkau sekiranya Allah telah menraik rahmat dari hati engkau (Sahih al-Bukhari)

Wallahu’alam.

Talbis Iblis dalam Ibadah

Talbis Iblis dalam Ibadah:

Ada antara manusia yang diperdaya oleh syaitan dengan masalah niat dengan berucap, " Aku berniat menghilangkan hadas." Lalu berkata, "Untuk sahnya solat." Lalu berkata lagi "Aku berniat menghilangkan hadas. Ini juga berlaku dalam solat. Bukanlah satu yang pelik untuk kita melihat orang yang asyik sibuk membetulkan bacaan ‘Usollinya’ sehingga diluang beberapa kali. Manusia itu mengangkat takbir beberapa kali seolah-olah ada sesuatu yang belum sempurna dalam niatnya itu. sedangkan manusia-manusia itu sendiri tahu bahawa melafazkan niat itu sebenarnya memang tidak dilakukan Rasulullah SAW. Maka apakah pula alasan mereka untuk mempertahankan talaffudz niat tersebut. Kata mereka, ia untuk menguatkan niat dan menghilangkan was-was. Benarkah begitu. Yang dilihat bertambah banyak was-was adalah.Mereka yang menyibukkan diri dengan talaffudz niat perlu mengetahui jika dia berniat maka secara automatik niat itu akan datang. Ini kerana jika dia sudah berdiri dihadapan menghadap kiblat, untuk apakah berdirinya itu kecuali untuk bersolat. Dan niat itu di hati bukannya di lidah. Maka apa perlu mengulang niat berulang kali. Hatta jika niat memang tidak ikhlas, maka diulanglah takbir beberapa kalipun maka niat tetap begitu jua.

Dalam masalah thaharah juga begitu. Ada segelintir manusia berlebih-lebihan dalam masalah thaharah. Ada di antara mereka dipengaruhi oleh soalan-soalan syaitan yang cuba menimbulkan was-was dengan disibukkan di dalam hati mereka "Dari mana engkau tahu bahawa air itu suci". Maka manusia itupun membuat berbagai-bagai andaian dan berbagai-bagai kemungkinan padahal syariat pada dasarnya sudah cukup baginya bahawa air itu adalah suci. Manusia seumpama ini menyibukkan diri dengan sia-sia dalam berwudhu hingga terlewat untuk berjemaah bersama imam lantaran kesibukannya dengan hal-hal thaharah. Bahkan mereka ini tak terlepas daripada melakukan beberapa perkara yang terlarang: (1) Membazir dalam penggunaan air (2) Menghabiskan masa dengan sia-sia untuk sesuatu yang bukannya suant mahupun wajib (3) Berlebih-lebihan hingga melangkaui apa yang disuruh syariat. Diriwayatkan dari Abdullah bin Amr al-Ash bahawa Rasulullah SAW pernah melewati Sa’ad yang sedang berwudhu, lalu baginda SAW bertanya, "Mengapa engkau berlebih-lebihan seperti ini wahai Sa’ad?" Sa’ad bertanya:" Apakah di dalam wudhu’ juga ada istilah berlebih-lebihan?" Baginda SAW menjawab, " Benar, sekalipun engkau berada di sungai yang mengalir (Riwayat Ibnu Majah dan Ahmad). Diriwayatkan juga di dalam Abu daud, Ibnu Majah dan Ahmad bahawa: "Akan muncul ditengah umat ini segolongan orang yang berlebih-lebihan dalam berdoa dan bersuci.

Manusia yang was-was ini menyangka apa yang mereka lakukan itu baik, kononnya berhati-hati sedangkan adakah mereka fikir bahawa mereka itu terlebih berhati-hati jika dibandingkan dengan Rasulullah SAW. Mungkinkah mereka ini semua mempunyai penyakit jiwa yang was-was atau sudah hilang kewarasan. Maka takut-takut mereka itu jatuh dalam golongan manusia yang diriwayat bahawa "Ada keringanan bagi orang yang gila hingga dia menjadi sedar (Riwayat Abu Daud, an-Nasaie, ad-Darimi, Ibnu Majah dan Ahmad). Ini kerana orang yang sudah mengangkat takbir, menyempurnakan thaharahnya akan tetapi masih merasa ragy dengan niatnya bukanlah orang yang waras. Sementara orang yang tidak waras tidaklah wajib atasnya bersolat. Adakah kita mahu jadi mereka yang tidak diwajibkan bersolat. Wallahu’alam

Di ringkaskan dari Tablis Iblis karangan Ibnu Jauzi.

Isu Tudung Di UIAM:1 Respond

Ini adalah satu respond daripada seorang saudara seIslam kita yang telah melalui fasa sebagai seorang muslim dan bukan muslim….Mungkin kita boleh ambil sedikit iktibar .Wallahu’alam
_____________________________________________________________________________________
Assalamualaikum,

Isu tudung yang sudah timbul berpuluh tahun. Sejak saya di sekolah
asrama dulu pun pihak sekolah cuba nak impose pakaian baju melayu,
tudung kepada kepada pelajar bukan melayu dan non-Muslim.

Setiap pihak boleh bagi alasan masing-masing dan untuk kata siapa
yang benar adalah sukar sekali. Yang muslim boleh kata ini semata-
mata kod pakaian, yang non-muslim pulak boleh kata itu seperti
memaksa mereka berpakaian seperti orang Islam/Melayu.

Sebagai seorang yang pernah menyelami dua kehidupan, yakni sebagai
seorang bukan Islam dan sebagai seorang Islam maka insya Allah saya
lebih memahami mentaliti masing-masing.

Sebelum kita membuat sebarang keputusan, kita kena mempertimbangkan
uruf tempatan. Sudah menjadi uruf tempatan bahawa tudung dan songkok
itu adalah lambang orang melayu/Islam, oleh itu kita boleh kata ini
adalah kod pakaian, etc, tetapi uruf tempatan tetap mengangap
sedemikian. Mentaliti orang bukan Islam ini ialah bila mereka
melihat seseroang pakai baju melayu, songkok, tudung, dia akan kata
orang tu sudah masuk Melayu dan ramai dari mereka akan berasa malu.
Saya kata uruf ini penting kerana baju kurung berbeza statusnya
dengan songkok dan tudung kerana walaupun ia adalah lambang
kemelayuan, tetapi adalah suatu yang dapat diterima oleh orang bukan
Islam, tetapi tidak dengan songkok dan tudung.

Cuba kita sebagai umat Islam letak diri kita dalam kedudukan mereka.
Katakan disebuah sekolah swasta, anak-anak dikehendaki pakai pakaian
yang menyamai sami buddha, ataupun pakaian yang ada lambang salib,
apa perasaan kita. Mungkin ada yang akan menjawab, oh… itu adalah
lambang keagamaan, jadi kita tak boleh bertolak ansur. Pihak sekolah
itu pulak boleh bagi alasan, bahawa ia adalah semata-mata pakaian
seragam dan kod etika sekolah tersebut.

Sepatutnya, sama ada suatu pakaian itu adalah lambang keagamaan,
tidak boleh diukur dengan pandangan penganut agama tersebut, tetapi
haruslah diukur dari pandangan si pemakai dan juga uruf tempatan.
Bagi kita mungkin tudung dan songkok itu tiada lambang keagamaan,
sama juga bagi orang bukan Islam, mungkin kain lilitan ataupun salib
itu tiada lambang keagamaan, tetapi ia tidak dianggap sedemikian
oleh si pemakai.

Dalam hal yang demikian, kita umat Islam perlu sensitif. Kita marah
bila ada pihak yang memaksa umat Islam berpakaian seperti oran bukan
Islam (spt tidak bertudung), dalam masa yang sama kita mahu orang
bukan Islam berpakaian seperti orang Islam (menurut pandangan
mereka).

Dalam kes seperti di UIA, kita adalah berkuasa dan kita boleh
menggunakan kuasa kita untuk memaksa mereka berpakaian menurut
kehendak kita. Dalam hal ini, kita mungkin menang, tetapi kesannya
ialah ia menyebabkan orang bukan Islam benci kepada agama kita,
benci kepada umat Islam.

Kita sebagai umat Islam kena lihat prioriti kita. Adakah menjadi
prioriti dakwah kita kepada golongan bukan Islam adalah memastikan
mereka ini menutup aurat? Dengan memaksa mereka bertudung dan
bersongkok akan memalukan mereka dihadapan ahli-ahli keluarga
mereka. Inilah realitinya dan saya kata demikian kerana saya memang
dari background bukan Islam dan saya faham mentaliti masyarakat
mereka. Kebencian yang timbul akibat dari peristiwa demikian boleh
menyebabkan mereka ini tertutup dari sebarang dakwah umat Islam,
khasnya dalam perkara-perkara yang lebih penting seperti dalam
akidah.

Persoalannya juga adakan dengan demikian kita membenarkan mereka
berpakaian sesuka hati? Tidak juga. Dalam hal ini kita boleh
berbincang dengan wakil mereka dan mencari satu jalan tengah yang
dapat diterima oleh semua pihak, yakni pakaian yang sopan bagi kita
dan tidak membawa lambang keagamaan ataupun kebangsaan bagi mereka.

Jika UIA mahu mengambil pelajar bukan Islam, maka mereka perlu
mempertimbangkan keperluan mereka setiap masa, bukannya dalam satu
masa membenarkan mereka buka aurat, dan dalam masa yang memaksa
mereka berpakain dalam keadaan yang akan menyulitkan mereka.

Walaupun apa yang saya kata ini seperti menyalahkan umat Islam dalam
isu, tetapi bagi saya memang umat Islam bersalah dalam isu ini
kerana kita tidak ada hikmah dan tidak tahu priority kita. Apa yang
kita mahu tonjolkan dalam isu ini adalah kita punya superiority.
Kita mungkin menang dalam isu pakaian, tapi kesannya ialah ia
menyebabkan orang membenci agama kita dan tertutup fikirannya
terhadap apa-apa yang berkaitan dengan Islam. Tidak hairan jika kita
lihat mengapa dakwah kepada non-muslim di negara kita ini hampir
lumpuh. Ini adalah salah satu dari akibatnya.

Wallahualam.

Pendustaan Hadith Gerhana

Assalamualaikum.

Kita digembar-gemburkan dengan sebuh hadith yang kononnya menceriatakan petanda kedatangan al-Mahdi. Dikatakan bahawa ia berkaitan dengan gerhana di bulan Ramadhan. Dan ramai jugalah dikalangan kita menjadi penyebar riwayat ini tanpa pernah terfikir untuk mengkaji kesahihannya. Penulisan di bawah akan membuka mata mereka yang beriman dengan riwayat ini, bahkan ia juga menjadi hujah untuk mencampakkan sahaja riwayat dusta ini ke dalam tong sampah dan tidak meletakkannya sebaris dengan hujah-hujah agama yang sahih. Selamat membaca!!!!


Hadith tersebut diriwayatkan oleh ad-Daruqutni (الدارقطني) di dalam sunannya dari perkataan Muhammad bin al-Hanifiyah.


قال الدارقطني : حدثنا أبو سعيد الاصطخري ثنا محمد بن عبد الله بن نوفل ثنا عبيد بن يعيش ثنا يونس بن بكير عن عمرو بن شمر عن جابر عن محمد بن علي قال:


" إن لمهدينا آيتين لم تكونا منذ خلق السماوات والأرض تنكسف القمر لأول ليلة من رمضان وتنكسف الشمس في النصف منه ولم تكونا منذ خلق الله السماوات والأرض".

Daruqutni berkata : "Menceritakan kepada kami Abu Said al-Asytakhri, telah menceritakan kepada kami Muhammad bin Abdullah bin Naufal, telah menceritakan kepada kami ‘Ubaid bin Ya’ies, telah menceritakan kepada kami Yunus bin Bakir, daripada ‘Amr bin Syamir, daripada Jabir, daripada Muhammad bin Ali katanya :

"Sesungguhnya bagi Mahdi kami itu kedatangannya ada dua tanda (aayatain), tidak berlaku tanda tersebut sejak diciptakan Langit dan Bumi, akan berlaku gerhana bulan pada malam pertama bulan Ramadhan, gerhana Matahari pada pertengahan bulan Ramadhan. Perkara ini tidak pernah berlaku sejak ALLAH menciptakan Langit dan Bumi."

Athar ini PALSU dan PENDUSTAAN terhadap Muhammad bin Ali (Ibn al-Hanifiyah) r.a.

Dilihat dari rangkaian perawi di atas kita dapat mengetahui bahawa sanadnya tidak bertemu dengan Rasulullah SAW. Ia terhenti pada Muhammad bin Ali, cucu kepada Amirul Mukminin Ali RA. Maka riwayat ini tidak bersambung kepada Rasulullah SAW dan ia dikenali sebagai ‘Munqati’. Ramai ulama’ tidak menerima riwayat seumpama itu sebagai hujah.

Imam Daruquthni sendiri setelah menyebutkan riwayat ini menyatakan dua orang perawi di dalam sanadnya iaitu Amr bin Syamir, dan Jabir sebagai perawi yang tidak dipercayai. Riwayat mereka tidak boleh dijadikan hujah.

Dr. Abdul ‘Alim Abdul ‘Azim al-Bastawi (الدكتور عبد العليم عبد العظيم البستوي )di dalam kitabnya "al-Mausu’ah fi Ahadith al-Mahdi al-Dhoiefah wa al-Maudhuah" (الموسوعة في أحاديث المهدي الضعيفة والموضوعة ) m.s. 169, menyebut senarai para ulama Hadith yang mengkritik beberapa rowi atau periwayat yang terdapat di dalam hadith ini terutama ‘Amr bin Syamir al-Ja’fi al-Kufi.

Di dalam sanad hadith ini adanya :

- Yunus bin Bakir bin Wasil as-Syaibani (يونس بن بكير بن واصل الشيباني ), Abu Bakar al-Jammal al-Kufi (أبو بكر الجمَّال الكوفي). : (Orang yang banyak melakukan kesalahan). Mati pada tahun 199 H.

- ‘Amr bin Syamir al-Ja’fi al-Kufi (وعمرو بن شَمِر الجعفي الكوفي ) : Seorang Syi’ah.

- Abu Abdillah (أبوعبد الله ): Pemalsu Hadith

Berkata pula as-Sulaimani : "’Amr adalah orang yang memalsukan Hadith untuk menyokong Rawafid (Syi’ah Rafidhah)."

Berkata al-Jauzjani : "(’Amr itu) Pendusta dan Pengubah (Hadith).

Berkata pula al-Hakim : "Dia (’Amr) banyak meriwayatkan hadith-hadith Palsu daripada Jabir al-Ja’fi, tidak ada yang meriwayatkan hadith-hadith palsu yang buruk daripada jabir selain dia."

Berkata pula Ibn Hibban : "Dia seorang Rafidh (Syi’ah Rafidhah), dia mencela para sahabat dan meriwayatkan hadith-hadith palsu yang direka-reka daripada Thiqaat."

Berkata pula Abu Hatim : "Dia (’Amr) benar-benar Mungkar Hadith, ditinggalkan hadith daripadanya."

Demikianlah kritikan para ulama Hadith yang menolak ‘Amr bin Syamir. Antara ulama lain lagi yang menolak beliau ialah al-Bukhari, an-nasa-ie, Ibn Sa’ad, Daruqutni dan lain-lain.

Manakala Jabir al-Ja’fi pula ialah Matrukul Hadith (متروك الحديث ) iaitu ditinggalkan Hadith daripadanya. Akan tetapi beliau dithiqahkan oleh Syu’bah, Waki’ dan ath-Thauri. Namun begitu Ibn Ma’in, Abu Hanifah, Laith bin ABi Sulaim, al-Jauzjani, Ibn ‘Uyainah, Ibn Kharrasy, Sa’id bin Jubair dan selain mereka mendustainya, selain itu ramai ulama Hadith lain yang melemahkannya.

Kerana itu az-Zahabi berkata : "Syu’bah menthiqahkannya, tetapi (pendapat ini) Syaz. manakala al-Huffaz hadith yang lain meninggalkannya."

Berkata pula Ibn Hajar : "Dia lemah dan seorang Rafidhi (Syiah Rafidhah)."

Kesimpulannya : "Hadith ini adalah hadith PALSU, kepalsuan ini disebabkan adanya beberapa rawi yang tidak thiqah terutamanya ‘Amr bin Syamir al-Ja’fi al-Kufi".

Berkata al-’Azim Abadi : "Amr bin Syamir dari Jabir ; perkataan mereka berdua adalah LEMAH. Tidak dijadikan hujjah dengan mereka berdua."

Apa yang disebut di atas membuktikan bahawa riwayat ini adalah terlalu lemah dan tidak boleh dijadikan hujah. Kita boleh melihat banyak tanda-tanda tentang kemunculan al-Mahdi yang kita tidak pernah tolak akan tetapi diperingatkan juga bahawa sebahagian riwayat tersebut ada yang terlalu lemah dan meragukan. Sebahagian daripada riwayat-riwayat tersebut berasal dari golongan Syiah (seperti mana riwayat di atas). Kita Ahl as-Sunnah wa al-Jamaah mengakui dengan kemunculan al-Mahdi akan tetapi Syiah mempunyai konsep al-Mahdinya sendiri yang berbeza dengan pegangan Ahl as-Sunnah wa al-Jamaah.

Wallahu a’lam

Sumber :

http://www.central-mosque.com/fiqh/mahdi.htm

Islam QA.com
http://63.175.194.25/index.php?cs=prn&ln=ara&QR=26836&dgn=4&dgn=2
http://kadir-alqayyim.blogspot.com/

Isu Tudung Di UIAM

No Malaysian undergraduate should be compelled to wear a tudung

http://www.nst.com.my/Current_News/NST/Thursday/National/20051110074217/Article/indexb_html

Foo Yueh Jiin vs Fong Po Kuan in IIU (Part One)
http://pokuan.blogsome.com/2005/11/03/foo-yueh-jinn-vs-fong-po-kuan

Foo Yueh Jiin vs Fong Po Kuan in IIU (Part Two)

http://pokuan.blogsome.com/2005/11/06/foo-yueh-jiin-vs-fong-po-kuan-in-iiu-part-two/

Let’s not cover up the tudung issue’

http://www.jeffooi.com/archives/2005/11/letas_not_cover.php

Assalamualaikum WBT. Isu tudung di UIA jadi perdebatan lagi. Bagi aku ini isu sampah, yang sepatutnya bila dibawa masuk ke Dewan Rakyat ia sepatutnya dicampakkan sahaja ke dalam tong sampah. Kenapa? Sebab bagi aku isu ini tidak relevan dan isu ini juga jadi bahan politik ahli politik di Malaysia. Dan malang bila manusia yang mengulas tidak faham isu. Maka berkokoklah tentang hak asasi manusia, kebebasan beragama, hak minoriti dan lain-lain. Dan sebahagian jawapan orang Islam juga memalukan bila dilihat perspektif tersebut dengan menerangkan hukum-hakam aurat wanita dan lain-lain. Itu semua bukan isunya. Tiada kena mengena dengan isu agama. Ia berkaitan dengan undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa, Malaysia.

Isu ini dah lama kedengaran sebelum aku masuk ke matrikulasi UIAM ni. Tak silap aku beberapa tahun lepas isu memakai songkok ketika konvokesyen di UIAM. Dan isu yang terbaru memakai tudung ketika konvokesyen UIA. Jadi isu ini timbul ketika konvokesyen. Dari buku undang-undang kod pakaian UIA yang aku terima ketika mula-mula mendaftar di matrikulasi UIA pakaian bukan islam bukanlah seketat pelajar Islam. Aku cuma nak tonjol satu bab tentang pakaian menutup aurat. Bagi pelajar Islam memang diwajibkan akan tetapi bagi pelajar yang bukan Islam mereka hanya disuruh berpakaian sopan yang memang telah ditetapkan apa kriteria pakaian sopan tersebut di dalam kod etika berpakaian. Tiada pula dalam etika berpakaian tersebut menyuruh pelajar bukan Islam menutup aurat seperti pelajar Islam, dan yang pasti tiada syarat menetapkan memakai tudung seperti yang dipakai pelajar Islam, kalau disuruh pun jika kita lihat pada pakaian pensyarah-pensyarah bukan Islam hanyalah selendang yang menampakkan rambut dan aku tidak tahu sama ada itu adalah satu kod etika pakaian atau bukan. Andai kata pemakaian selendang itu juga satu kod etika ia masih belum boleh dikatakan memaksa pelajar bukan Islam memakai pakaian mengikut syariat Islam kerana pakaian itu sendiri masih belum menepati kriteria menutup aurat yang ditetapkan syara’. Lainlah kalau mereka yang bukan Islam dipaksa menutup aurat seperti mana yang diwajibkan kepada pelajar-pelajar Islam. Jadi kena jelas dalam hal ini adakah kod etika berpakaian Universiti Islam Antarabangsa mewajibkan pelajar yang bukan Islam juga untuk menutup aurat!!

Isu ini juga timbul bila pelajar bukan Islam itu mendakwa dipaksa memakai tudung ketika konvokesyen. Maka di sini ingin saya terangkan bahawa itu adalah pakaian ketika konvokesyen begitu juga songkok. Songkok dan tudung adalah pakaian yang mengikut protokol ketika konvokesyen di UIA. Ia adalah sebahagian dari uniform ketika konvokesyen. Setiap universiti ada pakaian konvokesyen sendiri, bayangkan jika semua pelajar mahu mengikut kepala otak mereka sendiri mahu berpakaian sesuka hati ketika konvokesyen. Tiada universiti yang membenarkan pelajar sesuka hati berpakaian ketika konvokesyen. Mesti memakai pakaian yang disediakan dan mesti juga mematuhi protokol yang ditetapka. Jadi sekali lagi ini bukan isu agama, hak asasi dan lain-lain tapi ini adalah protokol ketika konvokesyen.

Adakah UIA mahu menjadi seperti kerajan orthodok Taleban?- Soalan yang terlalu bodoh yang tidak relevan. UIA tidak memaksa pelajar-pelajar bukan Islam menutup aurat, cuma menyuruh memakai pakain yang sopan. Bahkan definisi pakain yang sopan di UIA jelas diterangkan di dalam buku ‘Rules and Regulations’ yang akan diterima semua pelajar yang memasuki UIA. Bagi aku tiada ruang untuk keliru. Jikalau kod etika pakaian supaya memakai pakaian yang sopan turut dipertikaikan, maka aku katakan kepada mereka ‘GET OUT OF THIS PLACE. YOUR PLACE IS NOT HERE’. Dari awal bagi sesiapa yang mahu memasuki UIA kena faham dengan matlamat ‘ISLAMIZATION’ yang UIA akan terapkan kepada pelajar-pelajar dan semua penghuni UIA. ‘ISLAMIZATION’ ini tidaklah sampai memaksa yang bukan Islam untuk menutup aurat akan tetapi atas dasar ‘ISLAMIZATION’ ini UIA berhak membuat kod etika untuk membezakannya dengan pusa-pusat pengajian tinggi yang lain. Adalah tidak patut istilah ‘ISLAMIZATION’ ini disebut-sebut sedangkan di hadapan mata kita pelajar sama ada bukan Islam mahupun Islam masih bebas berpakaian yang ketat-ketat, yang singkat-singkat, dan berbagai-bagai lagi unsur pakaian yang tidak sesuai untuk proses ‘ISLAMIZATION’. Di manakah ‘ISLAMIZATION’ pelajar-pelajar masih boleh berpakaian seperti pelajar-pelajar unversiti yang lain yang sudah pasti jika dilihat dari kaca mata syarak memang menyalahi dan jika pula dilihat dari kaca mata budaya timur juga tidak molek dipakai.

Jadi bagaimana pula dengan isu hak pelajar Islam yang dipaksa memakai pakaian menutup aurat. Maka aku katakan disini bahawa kod etika mewajibkan pelajar-pelajar Islam menutup aurat adalah satu hal yang tepat. Jika di UIA pelajar bukan Islam disuruh memakai pakaian yang sopan, maka sudah seharusnya yang Islam pula memakai pakaian yang memang disuruh Islam. Ini bukan undang-undang UIA tapi undang-undang Allah yang mewajibkan semua umat Islam menutup aurat. Cuma sahaja UIA melaksanakannya mengikut kuasa yang mereka ada. Ia umpama sebuah sekolah agama yang mewajibkan pelajar menutup aurat. Itu sahaja. Maka jika ada pelajar Islam mahupun pensyarah beragama Islam mempertikaikan hal ini, maka molek bagi mereka memeriksa kembali agama mereka sama ada Islam atau bukan, dan mereka juga sepatutnya malu kepada segelintir pelajar bukan Islam yang turur menutup aurat tanpa paksaan. Sedangkan pelajar bukan Islam itu sendiri tahu memahami prinsip UIA bahkan tanpa dipaksa mereka menutup aurat, maka apalah pula alasan bagi umat Islam di UIA kerana tanpa diwajibkan oleh UIA pun mereka sememangnya wajib menutup aurat.

Jadi bagaimana pula dengan rungutan-rungutan pelajar bukan Islam yang mendakwa dipaksa pula oleh pensyarh-pensyarah mereka untuk memakai tudung di dalam kelas. Maka hal ini perlu disiasat oleh pihak UIA, ia bercanggah dengan kod etika berpakaian UIA, pensyarah tiada hak memaksa pelajar bukan Islam untuk memakai tudung. Ini berbeza dengan ketika konvokesyen kerana ketika konvokesyen memakai tudung dan songkok adalah satu protokol berpakaian. Pihak pentadbir UIAM adalah lebih patut menjawab isu ini secara terbuka di media supaya jangan nanti isu yang kecil seperti ini dijadikan isu yang besar.

Maka ada persoalan terakhir-Bukankah tudung itu pakaian agama Islam. Aku menjawab hanya sahaja secara kebetulan di bumi Malaysia ini pakaian tudung yang dipakai umat Islam/Melayu dianggap pakaian agama. Pakaian agama Islam ialah yang menutup aurat dan ada syart-syarat yang lain. Sama ada mahu memakai tudung atau apa sahaja pakaian yang lain dibenarkan asal sahaja menutup aurat. Maka tudung bukanlah pakaian agama keran jika dikatakan begitu maka banykalah pakaian di muka bumi ini menjadi milik ekslusif umat Islam kerana selagi mana ia menutup aurat dan tidak menyerupai orang kafir, maka umat Islam dibenarkan memakainya. Maka sekali lagi aku tegaskan bahawa tudung bukanlah pakaian agama. Ia sama sahaja seperyi pakaian-pakaian yang lain. Maka tiada isu untuk memaksa pelajar bukan Islam mengikut etika pakaian Islam.

Aku rasa semua dah jelas tentang hal ini. Jangan ada yang masih melatah. Sekian sahaja Wallahu’alam