Berkenalan
Dengan Hukuman Hudud
Hafiz Firdaus Abdullah
Hukuman Hudud adalah salah satu
dasar penting dalam syari‘at Islam. Selagi mana mampu, ia wajib dilaksanakan
dalam negara-negara Islam dan umat Islam perlu redha dengan perlaksanaannya.
Saya yakin kenyataan dalam
perenggan pertama di atas diketahui oleh umat Islam. Namun apa, mengapa dan
bagaimana hudud tersebut, ia masih samar-samar. Jika ia samar-samar kepada umat
Islam, maka bayangkanlah pula pandangan kaum bukan Islam terhadapnya.
Melalui tulisan ini, saya akan
cuba
,
secara ringkas dan sederhana, memberi pengenalan kepada hukuman hudud. Tumpuan
ditujukan kepada ciri-ciri hukuman hudud, agar kita umat Islam dapat lebih
mengenali dan memahaminya. Pada waktu yang sama saya akan menyelit penjelasan
kepada beberapa aspek hukuman hudud yang memusykilkan atau menimbulkan salah
faham.
Dalam mengkaji dan menulis artikel
ini, saya merujuk kepada al-Qur’an dan kitab-kitab hadis dalam subjek hudud.
Kemudian saya melanjutkannya kepada kitab-kitab fiqh, mahu pun buku-buku khas
yang membicara subjek hudud. Akan tetapi jika berlaku perselisihan antara
sumber-sumber di atas, al-Qur’an dan hadis saya unggulkan di atas selainnya.
Apakah
yang dimaksudkan dengan Hudud?
Mudahnya, hudud ialah menjatuhkan hukuman yang telah ditetapkan bentuk dan
kadarnya oleh Allah dan Rasul-Nya ke atas seseorang yang melakukan sesuatu
jenayah, dimana jenis jenayah dan cara pembuktian jenazah telah ditetapkan juga
oleh Allah dan Rasul-Nya. Jenis jenayah yang masuk dalam kategori hudud ialah
murtad, zina, seks sejenis (gay dan lesbian) dan mencuri.
Dalam fiqh Islam, hukuman kepada
jenayah dibahagikan kepada tiga kategori:
1. Hudud:
sepertimana yang dijelaskan di atas.
2. Qishash, iaitu balasan
setimpal ke atas sesuatu jenayah yang dilakukan. Qishash lazimnya merujuk
kepada jiwa dan anggota badan. Jika seseorang itu mencederakan tangan
seseorang, maka hukuman qishash ialah mencederakan kembali tangan orang yang
mencederakan. Namun yang dicederai memiliki pilihan untuk mengenakan denda atau
memaafkan orang yang mencederakannya.
3. Takzir, iaitu hukuman
yang tidak ditetapkan bentuk dan kadarnya oleh Allah dan Rasul-Nya. Kadangkala
bentuk dan kadarnya ada dinyatakan oleh Allah dan Rasulnya, namun ia tidaklah
bersifat mengikat. Perubahan boleh dilakukan oleh hakim berdasarkan faktor-faktor
yang melatarbelakangi jenayah dan penjenayah berdasarkan kes demi kes.
Takzir juga diterapkan ke atas jenis
jenayah yang sebelum ini tidak dinyatakan oleh Allah dan Rasul-Nya atau
terhadap jenayah yang dibuktikan dengan cara yang berbeza. Sebagai contoh, jika
kes rogol dibuktikan dengan ujian
DNA
atau kes menggelap wang syarikat dibuktikan melalui cara audit balance sheet,
maka jenayah ini dan hukumannya masuk dalam kategori takzir. Walaubagaimana pun
bab ini masih terdapat perbincangan di kalangan ilmuan Islam.
Ciri-Ciri
Hukuman Hudud.
Ciri # 1: Hudud bersifat menakutkan.
Objektif utama hukuman hudud bukanlah menghukum, tetapi menjauhkan manusia
daripada melakukan sesuatu jenayah. Untuk mencapai objektif ini, hudud
memiliki sifat menakutkan agar dengan itu manusia merasa takut dengan
jenayah tersebut dan berusaha untuk menjauhinya. Perkara ini disebut oleh
Allah Subhanahu wa Ta’ala:
Itulah batas-batas larangan
Allah, maka janganlah kamu menghampirinya. [al-Baqarah 2:187] Oleh itu
jika ada yang berkata hudud adalah zalim dan kejam, kita jawab: “Benar!”
Jawapan ini kemudiannya disambung dengan penjelasan bahawa objektif utama
hukuman hudud bukanlah menghukum, tetapi menjauhkan manusia daripada melakukan
sesuatu jenayah.
Ciri # 2: Hukuman Hudud Tidak Dikenakan Ke Atas Orang Gila, Jahil dan
Keliru.
Pernah seorang lelaki muslim datang
menemui Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam di dalam masjid dan berkata:
“Wahai Rasulullah!
Sesungguhnya aku telah berzina.” Rasulullah berpaling daripada orang tersebut
sehingga dia mengulang-ulangi pengakuannya sebanyak empat kali. Maka tatkala
dia bersaksi ke atas dirinya sebanyak empat kali, Nabi shallallahu ‘alaihi
wasallam memanggilnya dan bertanya: “Adakah engkau gila?” Dia menjawab:
“Tidak.” “Adakah engkau sudah berkahwin?” Dia menjawab: “Ya.” Maka Nabi
shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Ambillah dia dan rejamlah dia”. [Shahih
al-Bukhari, hadis no: 6815]
Dalam sebuah riwayat lain
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bertanya:
“Mungkin engkau hanya mencium
atau menyentuh atau memandangnya?” [Shahih al-Bukhari, hadis no: 6824].
Berdasarkan pertanyaan Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam kepada orang yang mengaku berzina, jelas bahawa ditentukan
terlebih dahulu sama ada beliau adalah gila atau tidak. Kemudian ditentukan
juga sama ada beliau benar-benar tahu apa yang dimaksudkan dengan zina, agar
tidak terjadi sebarang salah faham atau kekeliruan.
Berdasarkan pertanyaan ini, dapat
dirumuskan bahawa orang yang melakukan jenayah dalam keadaan fikirannya
tidak terkawal sepenuhnya, dia tidak dikenakan hukuman hudud. Contoh selain
gila ialah jahil, keliru, kanak-kanak dan tidur.
Disebut dalam beberapa riwayat
bahawa Amirul Mukiminin ‘Umar al-Khaththab radhiallahu ‘anh tidak
menjatuhkan hukuman hudud kepada orang yang berzina kerana kejahilan mereka
akan kesalahan berzina. Rujuk riwayat-riwayat tersebut beserta huraiannya
dalam buku Minhaj ‘Umar bin al-Khaththab fi al-Tasyri’ (edisi terjemahan oleh
Masturi Irham atas judul Metodologi Ijtihad Umar bin al-Khathab; Khalifa,
Jakarta
,
2005), ms. 273 dan seterusnya.
Ciri # 3: Hukuman Hudud Dijatuhkan Ke Atas Jenayah Yang Berlaku Secara
Terbuka. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Jauhilah perkara-perkara keji
yang telah dilarang oleh Allah, sesiapa yang telah melakukannya, hendaklah dia
menutupinya dengan tutupan Allah dan bertaubat kepada Allah. Ini kerana jika
sesiapa menampakkan perkara keji (yang dilakukannya) kepada kami, kami akan
menjatuhkan hukuman yang telah diperintahkan oleh Allah ‘Azza wa Jalla.
[Dikeluarkan oleh al-Hakim dalam al-Mustadrak, hadis no: 7615 dan beliau
berkata: “Hadis ini sahih atas syarat kedua-dua syaikh (al-Bukhari dan Muslim)
dan mereka tidak mengeluarkannya.” Ini dipersetujui oleh al-Zahabi.]
Selain itu sama-sama kita
mengetahui bahawa untuk menjatuhkan hukuman hudud, pendakwa perlu membawa
jumlah saksi yang tertentu. Jika syarat saksi tidak memadai, pendakwa
sendiri yang akan dikenakan hukuman. Ini sekali lagi menjadi bukti bahawa
hukuman hudud hanya dijatuhkan kepada jenayah yang berlaku secara terbuka
sehingga wujud orang yang menyaksikannya.
Sebagai tambahan, perhatikan semula
hadis di atas tentang bagaimana Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam
berpaling sebanyak empat kali daripada orang yang datang mengaku bahawa dia
telah berzina. Berdasarkan sikap Rasulullah tersebut, dapat dirumuskan bahawa:
1. Kemaksiatan adalah sesuatu yang
pernah berlaku pada zaman Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, akan tetapi
baginda tidak melaksanakan usaha mengintip atau memata-matai orang yang disyaki
melakukan maksiat. Ini selari dengan sabda baginda:
Sesungguhnya seorang
penguasa, apabila dia mencari-cari kesalahan rakyatnya, bererti dia merosakkan
mereka. [Shahih Sunan Abu Daud, hadis no: 4889]
2. Berpalingnya Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam menunjukkan baginda tidak suka mendengar pengakuan
orang yang telah berzina. Dalam ertikata lain, sesuatu yang telah berlaku
secara tertutup, biarlah ia tertutup. Baginda bersabda, maksudnya:
“…sesiapa yang telah melakukannya, hendaklah dia menutupinya dengan tutupan
Allah…”
3. Orang yang melakukan jenayah tidak
dianjurkan kepadanya untuk melapor kepada pihak penguasa. Sebaliknya hendaklah
dia bertaubat, sebagaimana lanjutan hadis di atas: “…hendaklah dia menutupinya
dengan tutupan Allah dan bertaubat kepada Allah…” Kembali kepada kes orang
yang mengaku berzina kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam,
dikhabarkan bahawa ketika sedang direjam, beliau melarikan diri kerana tidak tahan
sakit. Salah seorang sahabat sempat mengejar beliau dan memukulnya sehingga
mati dengan seketul tulang unta. Peristiwa ini kemudiannya dikhabarkan kepada
Rasulullah. Baginda bertanya:
Kenapa tidak dibiarkan dia,
mungkin dia bertaubat dan Allah menerima taubatnya. [Sunan Abu Daud, hadis no:
4419. Sanadnya hasan, rujuk Irwa al-Ghaleel, hadis no: 2322-8].
4. Seseorang yang mengetahui
berlakunya sesuatu jenayah juga tidak dianjurkan melaporkannya kepada pihak
penguasa. Sebaliknya hendaklah dia memberi nasihat dan teguran kepada yang
melakukannya. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Sesiapa yang menutupi
(kesalahan) seorang muslim maka Allah menutupinya di dunia dan akhirat. [Shahih
Sunan Ibn Majah, hadis 2078]. Imam Ibn Majah meletakkan hadis ini dalam
bahagian Kitab al-Hudud, Bab menutup kesalahan seorang mukmin dan mengelak
hukuman hudud disebabkan syubhat.
Saling memaafkanlah terhadap
(jenayah) hudud yang berlaku di antara kalian kerana (sesuatu jenayah) hudud
yang sampai kepada aku, maka wajib dikenakan hukumannya. [Shahih Sunan Abu
Daud, hadis no: 4376].
Sesiapa yang melakukan dosa
sedemikian (syirik, mencuri dan zina) dan dihukum keranannya, maka hukuman itu
adalah kifarah baginya. Dan sesiapa yang melakukan dosa sedemikian lalu Allah
menutupinya, maka terpulang kepada Allah sama ada untuk mengampunkannya atau
mengazabnya. [Shahih al-Bukhari, hadis no: 6784]
Memaafkan atau mengazab? Sifat
Allah yang Maha Pengasih lagi Pemaaf akan memberi kemungkinan yang tinggi ke
arah memaafkan. Hadis berikut menjelaskan:
Sesiapa yang berdosa di dunia
dengan melakukan sesuatu dosa lalu dikenakan hukuman ke atasnya disebabkan
dosanya itu, maka Allah Maha Adil daripada melipat gandakan hukuman-Nya ke atas
hamba-Nya. Dan sesiapa yang berdosa dengan satu dosa di dunia lalu Allah
menutupi ke atasnya, maka Allah Maha Mulia daripada mengenakan hukuman ke atas
sesuatu yang telah Dia maafkan. [Dikeluarkan oleh Ahmad dan sanadnya dinilai
hasan oleh Syu‘aib al-Arna’uth dan rakan-rakan dalam semakan mereka ke atas
Musnad Ahmad, hadis no: 775]
Ciri # 4: Tertuduh Dibenarkan Membela Diri.
Umm Salamah radhiallahu ‘anha
berkata, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Sesungguhnya aku hanyalah
seorang manusia. Jika kalian membawa kepada aku kes masing-masing, boleh jadi
salah seorang dari kalian dapat membela diri dengan cara yang lebih meyakinkan
berbanding yang lain sehingga aku memberi keputusan berdasarkan apa yang aku
dengar. Sesiapa yang (aku tersilap dalam memberi keputusan) sehingga memberi
kepadanya apa yang sebenarnya milik saudaranya, maka janganlah mengambilnya
kerana yang diambil itu hanyalah sebahagian daripada api neraka. [Shahih
al-Bukhari, hadis no: 7169]
Hadis di atas menunjukkan bahawa
orang yang tertuduh boleh membela dirinya dengan sekian-sekian hujah. Mungkin
dia jahil, mungkin dia keliru, mungkin dia mencuri kerana keadaan darurat,
mungkin dia membunuh kerana
cuba
membela siri sendiri (self defence), mungkin para saksi yang sengaja
memerangkap dirinya dalam melakukan jenayah tersebut dan pelbagai lagi.
Berdasarkan hadis ini juga muncul
sistem peguambela, dimana orang tertuduh yang tidak tahu cara membela dirinya
boleh meminta orang lain yang lebih arif melakukannya.
Ciri # 5: Hukuman Hanya Dijatuhkan Ke Atas Tertuduh Jika Tiada Kesamaran.
Dalam sebuah hadis disebut
bahawa: Elaklah daripada mengenakan hukuman hudud selagi mana kamu boleh
mengelaknya. [Sunan Ibn Majah, hadis no: 2545. Dinyatakan lemah oleh Ibn Hajar
al-‘Asqalani dalam Bulugh al-Maram, hadis no: 1047]
Tolaklah hukuman hudud
berdasarkan syubhat-syubhat [Dikeluarkan oleh al-Baihaqi, dinyatakan lemah oleh
Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam Bulugh al-Maram, hadis no: 1047, namun dinilai
hasan oleh al-Sayuthi dalam al-Jami’ al-Shagheir, hadis no: 314]
Dalam bab ini terdapat beberapa
hadis dan perkataan para sahabat yang semakna sehingga al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani
berkata: “Dan telah diriwayatkan dari tidak seorang para sahabat bahawasanya
mereka berkata sedemikian…” lalu beliau menyenaraikan riwayat-riwayat tersebut.
Rujuk Talkhish al-Habir fi Takhrij Ahadits al-Rafi’e al-Kabir, hadis no: 1755.
Sekali pun riwayat-riwayat di atas
diperbincangkan darjat sanadnya, maksudnya adalah benar sehingga para ilmuan
telah bersepakat bahawa hukuman hudud tidak dikenakan di atas sesuatu kes yang
memiliki kesamaran di dalamnya. Imam Ibn al-Munzir berkata: “Telah bersepakat
para ahli ilmu bahawa hukuman hudud tertolak berdasarkan syubhat.”
[Dikemukakan oleh‘Abd Allah bin ‘Abd al-Rahman al-Bassam dalam Taudih al-Ahkam
min Bulugh al-Maram, jld. 6, ms. 247].
Ciri-ciri ini telah diikuti oleh
sistem pengadilan konvesional masa kini dimana pendakwaraya perlu membuktikan
tanpa sebarang kesamaran bahawa yang tertuduh memang bersalah. Manakala
peguambela bagi yang tertuduh pula akan membuktikan bahawa dalam bukti-bukti
tersebut terdapat kesamaran di dalamnya. Jika kesamaran masih wujud di
antara hujah salah satu pihak, hukuman tidak dikenakan ke atas yang tertuduh.
Ciri # 6: Hukuman Hudud Berbentuk Fizikal.
Perbezaan yang paling menonjol
antara hukuman hudud dan hukuman konvesional adalah hukuman hudud berbentuk fizikal
seperti sebat, potong tangan, buang daerah dan bunuh. Manakala hukuman
konvesional, penjenayah diberi hukuman penjara. Kadangkala hukuman penjara
ditambah dengan sebatan, namun yang lazim adalah hukuman penjara sahaja.
Terdapat perbezaan yang besar antara dua bentuk hukuman ini, antaranya:
1. Hukuman fizikal benar-benar
memberi kesan “hukuman” kepada penjenayah manakala hukuman penjara
memberi kesan “kesenangan” kepada penjenayah. Seorang penjenayah bergembira
jika dia dapat memasuki penjara kerana dapat memperoleh tempat tinggal,
pakaian, makanan dan rakan-rakan banduan untuk bersosial. Ini semua adalah satu
kesenangan berbanding hukuman yang berbentuk fizikal.
Malah saya pernah terbaca laporan
bahawa sebahagian banduan yang selesai tempoh hukuman penjara akan segera
melakukan jenayah yang baru agar dapat memasuki penjara semula. Ini kerana jika
dia hidup diluar penjara, dia tidak memiliki rumah untuk tinggal, bilik air
untuk menjaga kebersihan, makanan, pakaian dan aktiviti bersama orang ramai.
Kehidupan dalam penjara adalah jauh lebih baik daripada di luar penjara. Maka untuk
melayakkan diri masuk penjara, dia perlu melakukan sesuatu jenayah yang baru.
2. Hukuman fizikal tidak memerlukan
kos yang tinggi. Tukang sebat atau pemotong tangan hanya memerlukan bayaran
yang rendah, atau mungkin tiada bayaran langsung. Ini jauh berbeza dengan
sistem penjara. Saya pernah membaca dalam akhbar tempatan bahawa kos penjagaan
penjara dan banduan di
Malaysia
menelan belanja beberapa juta ringgit.
3. Hukuman fizikal benar-benar
menakutkan orang ramai dan ini dapat membantu untuk menjauhkan mereka daripada
melakukan sesuatu jenayah. Hukuman penjara tidak menakutkan, bahkan seperti
yang saya jelaskan di atas, ia menjemput seseorang itu melakukan jenayah.
Maka atas dasar inilah, jika muncul
sesuatu jenis jenayah baru yang tidak disebut oleh Allah dan Rasul-Nya 1400
tahun yang lalu, bentuk hukuman yang bakal dikenakan hendaklah dalam bentuk
fizikal juga.
Ada yang
menyindir, bahawa bentuk hukuman fizikal adalah barbaric. Kita menjawab: “Ya!
Memang benar. Akan tetapi
cuba
bayangkan jika anda atau orang yang anda sayangi menjadi
mangsa sesuatu jenayah. Nescaya anda akan bersetuju penjenayah tersebut dihukum
secara fizikal dan tidak dihantar untuk bercuti di dalam penjara.”
Ciri # 7: Orang Yang Lemah Diringankan Hukuman Fizikalnya.
Sekali pun hukuman hudud berbentuk
fizikal, tidaklah bererti ia disama ratakan kepada semua manusia yang berbeza-beza
tahap fizikalnya. Orang yang tua umpamanya, diringankan hukuman fizikalnya.
Dalam sirah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, pernah seorang yang kecil
lagi lemah melakukan jenayah zina. Perkara ini dihadapkan kepada Rasulullah dan
baginda memerintahkan agar hukuman sebat seratus kali dikenakan. Terhadap
perintah ini, para sahabat berkata:
“Wahai Rasulullah!
Sesungguhnya dia amat lemah untuk menerima hukuman tersebut sehingga jika kami menyebatnya
seratus kali, nescaya kami akan membunuhnya.” Rasulullah menjawab: “Ambillah tangkai
kurma yang ada seratus ranting padanya dan sebatlah dia dengannya sekali
sebatan sahaja. Setelah itu bebaskanlah dia” [Dikeluarkan oleh Ahmad dan dinilai
sahih oleh Syu‘aib al-Arna’uth dan rakan-rakan dalam semakan mereka ke atas Musnad
Ahmad, hadis no: 21935]
Bezakan bahawa hukuman fizikal
hanya diringankan berdasarkan faktor fizikal seseorang. Faktor kedudukan,
keturunan dan kekayaan tidak boleh dijadikan hujah untuk meringkan hukuman
hudud. Pada zaman Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, pernah diminta
agar seorang yang ditangkap mencuri diringkankan hukuman hududnya. Permintaan
ini dijawab oleh Rasulullah:
Sesungguhnya orang-orang
sebelum kalian musnah tidak lain kerana mengenakan hukuman hudud ke atas orang yang
miskin dan mengecualikan orang yang mulia. Demi jiwaku yang berada di
Tangan-Nya, seandainya Fathimah (binti Muhammad, anak baginda) melakukan
kesalahan sedemikian (mencuri), pasti akan potong tangannya jua. [Shahih
al-Bukhari, hadis no: 6787]
GADUD vs
Hududiyyah.
Apabila kita bersembang-sembang
dengan rakan-rakan tentang hukuman hudud, lazimnya akan ditemui dua puak atau
kategori orang:
· Pertama adalah puak GADUD
(Golongan Anti Hudud). Mereka adalah orang-orang yang tidak faham tentang hudud
lalu menolaknya. Bagi mereka, jika hudud dilaksanakan dalam sesebuah negara,
nescaya kebanyakan rakyatnya akan berjalan ke
sana
sini tanpa tangan dan badan yang berbelang-belang.
· Kedua adalah puak Hududiyyah.
Mereka adalah orang-orang yang tidak faham tentang hudud tetapi beria-ria untuk
menegakkannnya. Bagi mereka, sebuah negara Islam adalah negara yang tugasnya
tidak lain menebas tangan pencuri dan membelasah para penzina.
Jika kedua-dua puak di atas
diberikan penjelasan yang baik tentang ciri-ciri hukuman hudud, nescaya mereka akan
mengubah pandangan dan pendirian. Di dalam hukuman hudud, tetap terserlah sifat
adil dan rahmat yang merupakan asas kepada Islam. Negara yang melaksanakan
hukuman hudud akan terserlah di dalamnya keamanan, keadilan dan rahmat. Aman
kerana hudud bersifat menakutkan seseorang daripada melakukan jenayah sehingga
dengan itu berkuranglah jumlah jenayah. Adil dan rahmat kerana hudud memperhatikan
terlebih dahulu sebab yang melatarbelakangi sesuatu jenayah dan keadaan orang
yang melakukan jenayah tersebut.
Jika dibandingkan ciri-ciri hukuman
hudud dengan hukuman konvesional masa kini, akan ditemui banyak kesamaan.
Bahkan tidak berlebihan jika saya katakana bahawa perbezaan hanya dari sudut
bentuk hukuman dimana hudud menghukum dalam bentuk fizikal manakala konvesional
menghukum dalam bentuk penjara. Apabila saya menekankan kesamaan ini, tidaklah
saya bermaksud umat Islam boleh berpuas hati sahaja dengan hukuman konvesional.
Akan tetapi yang ingin saya gariskan adalah:
1. Sistem hukuman konvesional masa
kini yang dianggap moden, adil lagi canggih sebenarnya diambil daripada sistem
Islam. Bayangkan, manusia 1400 tahun yang lalu hidup dalam suasana jahiliyah
dan kegelapan manakala Islam telah meletakkan dasar-dasar bagi menghukum sesuatu
jenayah. Maka menjadi satu kezaliman terhadap diri sendiri apabila umat Islam
membelakangkan hukuman hudud dan mengambil hukuman konvesional yang sebenarnya
merupakan tiruan daripada warisan Islam.
2. Orang-orang yang memilih atau
mengutamakan hukuman konvesional, mereka sebenarnya tidak faham tentang hukuman
hudud. Malah mereka telah ditakut-takutkan tentangnya oleh puak Hududiyyah.
Dengan penjelasan yang baik lagi bertahap-tahap daripada kita, nescaya mereka
akan berubah pandangan tentang hukuman hudud dan menyokongnya.
Oleh itu melalui penulisan yang
serba ringkas dan sederhana ini, marilah kita menjadi orang yang memahami
ciri-ciri hukuman hudud. Anggaplah penulisan ini sebagai permulaan untuk kita
memperdalamkan pengetahuan tentang hukuman hudud. Hendaklah usaha ini dilakukan
kerana Islam, bukan kerana politik atau kepartian. Seandainya di antara pembaca
ada yang mendekati ciri-ciri GADUD atau Hududiyyah yang saya umpamakan di atas,
sama-samalah kita menyemak dan membetulkan diri sendiri.
Seterusnya kita perluaskan penjelasan
kepada rakan-rakan yang bukan Islam, agar mereka dapat memahami dan bersifat
neutral tentang hukuman hudud. Memang, lebih baik jika mereka menyokong hukuman
hudud. Akan tetapi jika kita sendiri tidak memahaminya secara benar, bagaimana
mungkin mereka?