Kisah di Kem Ibadah Sek. Men. Keb. Felda Palong 7
Assalamualaikum WBT.
Kenangan di Sek. Men. Keb. Felda Palong 7
masih di dalam ingatan. Semalam aku mendapat sms dari dua orang pelajar
sana. Seorang budak lelaki kumpulan aku. Dan seorang pelajar perempuan.
Kedua-duanya pelajar tingkatan 1.
Rajin pula mereka tanya
khabar, hantar sms, sampai aku cakap wah banyak betul duit, form 1 dah
ada handphone sendiri. Kadang-kala mereka memanggil aku ustaz
kadangkala abang. Kepada budak perempuan, aku dah warning awal-awal.
"Don’t call me abang!" Call me Ustaz.
Nampak macam berlagak tapi
bagi aku tu lagi baik. Aku geli kalau budak perempuan panggil aku
abang. Biar diorang panggil aku ustaz.
Teringat aku waktu
awal-awal tiba di Palong. Ustaz Zul beritahu, sekolah ini lain sedikit.
Kat sini berkumpul segala masalah sosial. Mat dan minah rempit,
khalwat, zina, rokok, dadah dan lain-lain. Bahkan malang bertimpa
apabila segelintir ibu bapa di situ akan bertindak sekiranya ada guru
menegur kemungkaran anak-anak mereka. Ustaz Zul kata, pernah dulu dia
pergi ketuk seorang budak lelaki sebab kurang ajar sangat dalam kelas.
Cikgu mengajar kat depan, dia boleh duduk bersilang kaki dengan kaki
kat atas meja. Banyak lagilah kisah yang Ustaz Zul cerita.
Sampai
di sekolah, aku tengok mak datuk banyaknya piala. Rupa-rupanya
piala-piala kawad. Sekolah ni jaguh kawad. Pagi petang kawad. Aku duduk
kat situ rasa macam dalam kem tentera. Asyik dengan suara orang
berkawad.
Aku teringat seorang budak yang aku ajar rukun Islam,
Iman dan Syahadah. Dia ni baik, degil sikit tapi masih dengar cakap.
Dia ikut kalau kita ajar. Tak melawan. Kira okeylah. Malam itu hujan
lebat, aku nak bercakap pun budak-budak ni tak dapat dengar sangat.
Maka aku ambik keputusan untuk menulis di papan putih. Mula-mula aku
dok soal budak-budak ni pasal rukun Islam dan Iman. Sedikit
menyedihkan, ramai tidak mengetahuinya. Apabila mereka baca rukun Islam
dan Iman yang tunggang langgang. Aku biarkan sahaja. Aku tidak kata
salah atau betul. Aku ambil marker. terus aku tulisa satu persatu rukun
Islam dan Iman. Aku suruh semua mereka salin apa yang aku tulis. Lepas
itu aku menyuruh mereka membaca apa yang aku tulis seorang demi seorang
dan cuba menghafalnya.
Habis sesi rukun Islam dan Iman, aku
bertanya pula tentang syahadah. Aku menyuruh satu demi satu pelajar
melafazkan dua kalimah syahadah dengan maksudnya. Sekali lagi, ada
ramai jua yang gagal hatta tidak tahu langsung melafazkan kalimah
syahadah. Aku mengulangi langkah awal, aku menulis lafaz kalimah
syahadah di papan putih. Menterjemahkan maksudnya. Membacakannya kepada
pelajar-pelajar di hadapan aku. Dan menyuruh mereka mengikut aku
membacanya. Selepas itu aku menyuruh seorang demi seorang membacanya.
Wajah kecewa dan sedih aku tak boleh tunjuk dihadapan pelajar-pelajar
ini. Mereka bukan seperti pelajar-pelajar di Kem Smart Solat di sekolah
aku, Sek. Men. Keb. Tampin. Aku kena mengajar seperti mengajar
kanak-kanak sekolah rendah.
Akan tetapi, dalam masa yang sama,
aku juga merasakan bahawa mereka mahu belajar. Mereka degil tapi hati
mereka masih mahu pada agama. Mereka mengharapkan sesuatu, yang mungkin
gagal diberikan oleh segelintir ibu bapa di sana. Mereka mahukan
didikan, belaian, kasih sayang.
Walau dalam keadaan begitu, aku
masih memendekkan tempoh belajar semua itu kerana aku tahu mereka tidak
akan dapat hadam apa yang aku ajar malam itu. Cukup aku memberitahu
tentang rukun Islam dan Iman, dan mengajarkan mereka kalimah syahadah.
Selepas itu aku beri mereka rehat, buatlah apa yang mereka nak. Nak
baringke kat dalam surau tu. Aku mahu kem ini ceria, riang, tiada
tengkingan dari fasi-fasi, tiada masam muka antara pelajar dan fasi.
Aku mahu pelajar rilek, gembira, seronok dan ceria. Biarkan mereka
bergembira dengan kem ini.
Sebagaimana dengan syahadah dan rukun
Islam dan Iman. Begitu jualah dengan solat. Ada yang tidak tahu
langsung bersolat. Hatta bacaan-bacaan mudah seperti al-Fatihah, sujud
dan ruku’ juga tidak tahu. Pagi Ahad, solat Subuh tanpa Qunut. Aku
bangun. Aku katakan, tidak menghafal doa Qunut bukanlah alasan untuk
tidak solat Subuh. Hatta kalau tidak hafal bacaan-bacaan wajib seperti
tahiyyat dan lain-lain. Aku tetap katakan wajib solat. Solatlah walau
dengan tidak membaca apa-apa pun. Dalam masa yang sama cuba belajar dan
menghafal semua bacaan-bacaan wajib. Kerana itu aku memilih
bacaan-bacaan yang pendek yang wujud di dalam sunnah nabi saw untuk
dibaca oleh pelajar-pelajar ini. Selagi mana wujud pilihan untuk
membaca yang pendek, maka itulah yang aku ajar. Bak kata Rasulullah
SAW: "Permudahkan dan Janganlah menyusahkan". Solatlah setakat mana
yang kamu mampu.
Hari terakhir, pulang, ini sahaja yang mampu
aku dan rakan-rakan fasi lakukan. Tiga hari yang ada masih sedikit
untuk mengubah sekolah itu. Adik-adik yang hadir itu, masih perlukan
bimbingan. Siapakah yang akan mengawasi solat mereka ketika di rumah?
Saban
kali di dalam kem diingatkan jua tentang adab berpakaian. Sering jua
sahabat-sahabat fasi memuji adik-adik perempuan kerana memakai pakaian
yang menutup aurat ketika di dalam kem ini. Bukankah indah jika pakaian
itu juga yang akan dipakai selepas ini.
Mereka perlukan
bimbingan, bukan cacian, maki dan penghinaan. Mereka menerima kami
sebagai tetamu, dan membenarkan kita mengajar mereka. Di dalam hati
mereka masih mahukan kebaikan, cuma siapakah yang akan membantu mereka
mencari kebaikan itu?
Wallahu’alam.
Laporan Kem Ibadah Sek. Men. Keb. Felda Palong 7
Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah, akhirnya kem ibadah di Sekolah Menengah Kebangsaan Felda Palong 7 telah berjaya dilaksanakan. Dengan semangat jitu yang ditunjukkan oleh para fasilitator yang terdiri daripada Institut al-Imam asy-Syafie Consultant and Training (INTIS), begitu juga dengan tiga orang bekas pelajar perempuan sekolah tersebut yang kini sedang menuntut di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), rakan-rakan UIAM dari Gemencheh, Bahau, dan juga seorang sahabat dari Rembau yang juga baru sahaja menamatkan pendidikannya di kolej PTPL Shah Alam. Kesemua fasilitator ini telah menunjukkan semangt berpasukan. Kesanggupan mereka bersengkang mata tidak kira letih, penat dan lelah amat-amatlah dihargai.
Mungkin elok kalau aku ceritakan sedikit kronologi bagaimana kami boleh tiba dan melaksanakan kem ibadah di SMKP7 ini. Pada kira-kira tiga atau empat minggu yang lalu. Aku telah didatangi seorang pelajar perempuan perakaunan. Waktu tu aku baru sahaja habis kelas. Nak balik rumah lah gamaknya. Dia tanya, “Ni Masri
kan ?”. Lepas tu dia bagitahu aku bahawa Ustaz Zul yang mengajar di SMKP7 suruh dia cari aku di UIA dan ajak aku membantu kem ibadah yang akan dilaksanakan di SMKP7. Kem ini akan diketuai oleh seorang sahabat UIAM dan rakan-rakannya. Dan aku dijemput khas untuk terlibat di dalam slot solat. Ustaz Zul ini sudah aku kenali setahun yang lalu. Waktu itu aku dan rakan-rakan INTIS sedang menganjurkan Kem Smart Solat di sekolah aku iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Tampin (SMKT). Dan dari tahun lepas beliau sudah mengajak INTIS untuk hadir ke sekolah beliau untuk menganjurkan program sebegini. Cuma tahun lalu, tarikh yang ditetapkan telah bertembung dengan peperiksaan pertengahan semester fasi-fasi INTIS. Maka ia terpaksa ditangguhkan.
Maka jika melihat asalnya bahawa aku dan rakan-rakan dari INTIS bukanlah penganjur untuk kem ini. Dan seminggu sebelum kem ini berlangsung, aku telah memanggil penganjur dan bekas pelajar SMKP7 itu untu bermesyuarat tentang kem ini. Maka hasil mesyuarat itu, aku dapati bahawa senarai fasi masih belum ada. Cuak juga waktu itu sebab aku dah rasa kem ini akan kelam kabut. Masakan tidak dengan jumlah peserta dijangka menjangkau 100 orang, tapi senarai fasi masih belum diketahui berapa jumlahnya. Maka malam itu aku terserempak dengan sahabat yang berperanan mengetuai kem ini. Dia kata dia akan carikan fasi. Sehingga hari Rabu fasi masih belum ada. Tinggal dua hari sahaja. Tiba-tiba aku dapat panggilan daripada bekas pelajar SMKP7 yang mengajak aku ke kem itu. Dia memaklumkan penganjur mahu menangguhkan kem ini. Tapi katanya pihak sekolah dah buat persediaan bahkan pelajar-pelajar juga sudah tahu tentang kem ini. Bincang punya bincang, kami memutuskan untuk berusaha mencari fasi. Aku apa lagi, kelam kabut call dan sms kawan-kawan aku. Sudah saat-saat terakhir begitu, maka bertembunglah dengan aktiviti kawan-kawan itu.
Ada
Call punya call, tak cukup dengan tu SMS dan YM, maka dapat jualah lagi 3 orang fasi. Tapi mereka hanya akan tiba pada hari Sabtu kerana mereka ada Nuqaba’ Training di Perak sehingga Jumaat petang. Dan mereka juga membawa seorang budak perempuan UIA yang berasal dari Bahau.
Selesai juga sedikit masalah, cuma kalut sedikit apabila aku dan bekas pelajar SMKP7 itu terpaksa menguruskan kem ini di saat-saat akhir, dengan susunan tentative, modul lagi.
Aku bertolak pada pagi Jumaat bersama seorang rakan dari Rembau. Naik bas ke Gemas. Perjalanan memakan masa 1 jam 30 minit. Tiba di Gemas, Ustaz Zul dan pelajar SMKP7 itu datang jemput. Punyalah jauh dari Gemas ke
sana , kalau nak ikut macam dari Tampin ke Seremban jauhnya. Macam separuh perjalanan aku nak balik KL dah.
Sampai di
sana dah nak dekat waktu solat Jumaat. Nak briefing fasi tak sempat. Lepas solat Jumaat baru sempat. Briefing ringkas tentang modul sifat wudhu dan solat nabi yang aku buat. Waktu itu aku seorang sahaja fasi lelaki. Seorang kawan aku akan sampai petang itu. Pembahagian kumpulan aku lakukan seorang diri. Alhamdulillah senarai nama peserta sudah aku milik sejam sebelum sesi pembahagian kumpulan. Maka kerja aku bertambah senang. Setelah dibahagi-bahagikan kumpulan, maka perempuan mempunyai enam kumpulan manakala lelaki mempunyai
lima kumpulan. Setiap kumpulan mempunyai antara sepuluh dan dua belas orang peserta jika mengikut jumlah asal iaitu 123 orang peserta. Cuma ada dalam lingkungan lapan belas orang tidak hadir, maka jumlahnya lebih kurang 105 orang pelajar.
Kawan aku dari KL itu tiba pada waktu Asar. Lega sedikit kerana ada yang datang membantu. Sesi petang itu dimulai dengan sesi berkenal-kenalan antara fasi dan peserta. Selepas itu dilakukan pula sesi perlantikan ketua kumpulan dan objektif setiap kumpulan. Setiap kumpulan diminta menyenaraikan senarai objektif dan apa yang ingin dicapai di dalam kem ibadah ini.
Malam itu selepas solat Maghrib, sesi kuliah pertama aku mulakan dengan tajuk “Mari Berkenalan Dengan Allah”. Aku membawa kisah Nabi Ibrahim AS di dalam al-Quran di mana Nabi Ibrahim AS mencari-cari Tuhan, bagaimana Nabi Ibrahim menafikan bintang, bulan dan matahari sebagai tuhan.
Selepas sesi solat Isya’, kesemua peserta dipecahkan ke dalam kumpulan masing-masing. Kumpulan lelaki dipecahkan dua, satu kumpulan dijaga kawan aku, dan satu lagi aku jaga. Malam itu aku mengajar kumpulan aku tentang rukun Islam, rukun Iman dan Syahadah. Hasil daripada malam itu, aku dapati ada pelajar yang tidak mengetahui rukun Islam dan Iman, bahkan tidak mengetahui bagaimanakah lafaz kalimah syahadah. Maka malam itu aku terpaksa mengajar dengan method seperti kanak-kanak sekolah rendah, aku menuliskan kesemua isi rukun Islam dan Iman, dan semua pelajar kumpulan aku dikehendaki menyalinnya. Dan aku juga menuliskan lafaz kalimah syahadah, berserta maksudnya. Selepas itu aku menyuruh setiap pelajar membacanya dan
cuba menghafal. Sesi itu dijadualkan tamat jam 10 malam, cuma untuk kumpulan aku, aku tamatkan sedikit awal untuk memberi masa kepada budak-budak kumpulan aku berehat.
Selepas itu, pelajar dipecahkan semula ke dalam kumpulan kecil masing-masing. Mereka diminta menyiapkan bendera dan nama kumpulan masing-masing.
Pada jam 1045 pelajar-pelajar menikmati minum malam dan masa untuk tidur.
Pelajar-pelajar itu telah dibekalkan dengan nota zikir sebelum tidur, bangun tidur, dan zikir-zikir dan surah-surah yang dibaca selepas solat. Aku mengetuai mereka berzikir atas dasar untuk mengajar mereka.
Pada pagi Sabtu, sesi dimulakan dengan majlis Qiamullail. Aku mengimamkan majlis tersebut. Kami bersolat tahajud dua rakaat dan solat witir 3 rakaat dua salam. Sebelum itu aku mengingatkan kepada pelajar bahawa aku akan melamakan setiap sujud aku pada solat malam itu supaya kita dapat membanyakkan doa di dalam sujud. Tamat sahaja solat witir, maka masuknya fardhu Subuh.
Selepas selesai berzikir, kuliah Subuh di sampaikan oleh seorang pendakwah yang juga pegawai felda di situ. Ceramah beliau yang menarik dan
gaya yang menggelikan hati, mencelikka mata pelajar yang kelihatan kuyu dek keraa bangun awal untuk qiamullail. Masakan tidak, malam itu aku dengar pelajar-pelajar itu tidur lewat. Pendakwah itu bercerita tentang masalah-masalah social budak-budak felda, adab-adab tidur. Melihat aksi beliau, teringat pula aku kepada ex-rockers Ustaz Akhil Hayy.
Tamat kuliah Subuh, sesi riadah dimulakan. Aku mengarahkan seorang pelajar untuk mengetuai sesi riadah pagi itu.
Pada jam 830 pagi. Sesi pertama kuliah adab dilakukan oleh sahabat aku. Beliau menerangkan tentang adab-adab seorang muslim di dalam kehidupan, adab ketika berkata-kata, adab berpakaian dan lain-lain. Kuliah itu pendek sahaja.
Pelajar-pelajar diberikan rehat selama 15 minit. Selepas itu sesi disambung dengan tajuk “Bagaimana Wudhu Rasulullah SAW”. Ketika sesi itu, sahabat aku melakukan demonstrasi sifat Wudhu Rasulullah manakala aku membacakan hadith-hadith nabi berkaitan wudhu. Dalam sesi itu adakalanya pelajar-pelajar disuruh ke hadapan untuk menggayakan bagaimana berwudhu. Tamat belajar wudhu, maka diajar pula secara ringkas tentang tatacara mandi wajib. Selepas itu pelajar berehat selama 15 minit untuk sedikit minuman dan makanan ringan.
Selepas menikmati sedikit hidangan dan berehat, sesi kedua iaitu sesi “Bagaimana Solat Rasulullah” dimulakan. Dalam sesi itu diterangkan setiap langkah solat Rasulullah SAW. Dan seperti sesi sebelum ini, pelajar-pelajar juga dipanggil untuk menggayakan bagaimana mereka bersolat.
Ketika itu aku mendapat panggilan telefon bahawa rakan-rakan fasi dari KL sudah hampir sampai di Kuala Pilah. Aku mendapatkan bantuan seorang guru di
sana untuk memberikan tunjuk arah kepada rakan-rakan aku. Akhirnya, pada jam 115 tengahhari, mereka tiba jua di sekolah. Selepas Zuhur diadakan sedikit sesi berkenalan bersama abang-abang dan akak-akak fasi yang baru tiba. Dan mereka menyambung sesi sifat Solat Nabi yang tidak sempat aku dan rakan-rakan aku tamatkan pagi itu.
Pada jam 250, sesi itu ditamatkan. Pelajar diberikan rehat 10 minit. Selepas itu pelajar kembali ke dalam kumpulan masing-masing bagi membuat persediaan untuk “War Game” petang itu. Mereka diminta melantik ketua kumpulan perang mereka dan merancang strategi peperangan mereka. Majlis mesyuarat setiap kumpulan tamat pada jam 345 petang. Mereka diminta mula membina kubu kumpulan masing-masing.
Peperangan dimulakan selepas solat Asar. Pelajar lelaki telah mengadakan tiga pusingan peperangan selepas dua peperangan yang berkesudahan seri. Sedikit ganas permainan ini, akan tetapi ia memberikan sedikit keceriaan kepada mereka. Dan memang itu objektif kita untuk menjadikan kem ini sebagai satu kem yang ceria, santai dan relaks, dan tidak menekan peserta.
Malam itu, kuliah Maghrib disampaikan oleh fasi yang baru tiba tengahari itu dengan tajuk “Mari Menutup Aurat”. Di ajar bagaimana adab-adab berpakaian di dalam Islam. Selepas solat Isya’, kesemua pelajar dipecahkan ke dalam kumpulan kecil masing-masing. Fasi-fasi akan membimbing mereka untuk mempraktiskan wudhu dan solat yang sudah dipelajari siang itu. Bagi kumpulan aku, malam itu kami hanya buat praktis solat dua rakaat. Pelajar-pelajar kumpulan aku diarahkan bersolat di atas tar sebanyak dua rakaat. Tamat solat, aku mengajar mereka bertayamum dan selepas itu, kami ramai-ramai duduk di atas tar dan bercerita. Malam itu mereka suruh aku cerita kisah-kisah nabi. Aku cerita kisah Nabi Adam, Nabi Ibrahim, Nabi Yusuf. Mereka suruh cerita lagi, aku jawab aku bukan hafal dan tahu semua cerita-cerita nabi. Selepas itu, kami menyambung dengan praktikal wudhu.
Pada jam 1030 pagi tayangan video Palestin disiarkan. Selepas itu aku memberi sedikit ulasan dan bercerita kepada adik-adik tentang situasi di Palestin dan pengajaran buat diri kita.
Keesokan paginya, selepas solat Subuh, kuliah disampaikan oleh seorang fasi yang bertajuk “Siapa Idola Kita”. Kuliah ini menerangkan kepentingan mengambil Rasulullah SAW sebagai contoh ikutan kita.
Selepas itu diadakan sesi gotong-royong untuk membersihkan kawasan sekitar. Selepas itu semua pelajar diminta berkumpul di kawasan perhimpunan. Diadakan kuiz tentang wudhu dan solat dimana kumpulan lelaki akan menentang kumpulan perempuan. Pada mulanya, akan diadakan empat soalan. Tetapi pertarungan yang sengit dengan kedudukan seri 2-2 antara kumpulan lelaki dan perempuan. Selepas itu ditambah satu soalan di mana wakil pelajar lelaki dan perempuan diminta membaca tahiyyat sehingga habis. Akhirnya keputusan berpihak kepada lelaki kerana lebih lancar bacaannya.
Selepas sarapan, sesi disambung dengan sambungan praktikal solat dan wudhu, dan ditambah dengan sesi pemberian markah di atas prestasi pelajar-pelajar.
Pada jam 1045 dimulakan majlis penutup dengan ucapan YDP PIBG, wakil sekolah dan wakil fasilitator. Selepas itu majlis bersalam-salaman antara fasi dan peserta dan selepas itu majlis bergambar. Tapi yang aku tengok fasi perempuan tidak bergambar bersama kumpulan masing-masing, kumpulan lelaki je. Habis je sesi bergambar, fasi-fasi diserbu oleh adik-adik untuk mendapatkan tandatangan dan nombor telefon.
Selepas sesi makan tengah hari, kami semua berangkat pulang ke lokasi masing. Terima kasih adik-adik SMK Palong 7. Dan terima kasih jua khas buat untuk Ustaz Zul yang berkerja keras.
Untuk mendownload gambar-gambar ketika kem layari disini http://www.friendster.com/photos/2787450/1/890827750
November 9th, 2008 at 11:23 am
akum…
sy kamaruddin bekas pelajar smkp7 ucap tahniah pada us coz menjayakan porg solat untuk pelajar smkp7 .
terima kasih us
dp kamaruddin Hj Darus.
AJK Pemuda Pas larut . perak
S/U Dana pembela. larut . perak