Archive for June, 2008


Tudung Adalah Simbol Aqidah. Benarkah?

Assalamualaikum WBT

Ada yang
berkata iman di hati, tiada kaitan dengan amalan. Maka popular
ayat-ayat ini "Kami pakai seksi, tapi hati kami baik", "Allah nilai
taqwa kita, bukan pakaian kita." Dan banyak lagi.

Tahukah kita
bahawa ideologi ini adalah satu kesinambungan ideologi lama dahulu. Apa
nama ideologi itu. Namanya Murjiah. Tak mengapa, posting kali ini bukan
mahu berbicara tentang ideologi Murjiah. Posting kali ini ingin
bercerita tentang tudung. Ya, tudung wanita untuk menutup aurat, bukan
tudung untuk saji mahupun tudung periuk.

Baik! Saya menyatakan
bahawa tudung adalah salah satu nilai aqidah kita. Jangan ada yang cuba
mahu loyar buruk di sini berkata bahawa kalau pakai tudung, tapi baju
sendat, singkat nampak pusat. Saya bercerita tentang tudung muslimah
ya, lagipun normalnya orang Islam Melayu kalau nak tutup aurat mesti
pakai tudung. Pakai tudung tak semestinya tutup aurat, tapi normalnya
di Malaysia kalau nak tutup aurat mesti pakai tudung. Mesti difahami
hal ini.

Kita orang Islam, bercerita tentang agama mestilah dengan sumber wahyu. Maka saya mahu bercerita apa yang al-Quran cerita.

Al-kisah
di zaman dahulu kala, ketika Rasulullah SAW masih hidup di muka bumi
ini, dan para sahabat dan sahabiah (sahabat-sahabat nabi yang
perempuan) masih hidup bertebaran di muka bumi, maka turunlah satu ayat
al-Quran. Ayat apa itu?

وَقُل
لِّلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ
فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا
وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِنَّ وَلَا يُبْدِينَ
زِينَتَهُنَّ إِلَّا لِبُعُولَتِهِنَّ أَوْ آبَائِهِنَّ أَوْ آبَاءِ
بُعُولَتِهِنَّ أَوْ أَبْنَائِهِنَّ أَوْ أَبْنَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ
إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي أَخَوَاتِهِنَّ أَوْ
نِسَائِهِنَّ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُنَّ أَوِ التَّابِعِينَ غَيْرِ
أُوْلِي الْإِرْبَةِ مِنَ الرِّجَالِ أَوِ الطِّفْلِ الَّذِينَ لَمْ
يَظْهَرُوا عَلَى عَوْرَاتِ النِّسَاءِ وَلَا يَضْرِبْنَ بِأَرْجُلِهِنَّ
لِيُعْلَمَ مَا يُخْفِينَ مِن زِينَتِهِنَّ وَتُوبُوا إِلَى اللَّهِ
جَمِيعًا أَيُّهَا الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُون
Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya
menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan
memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan
perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah
mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan
janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada
suami mereka
atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau
anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka atau saudara-saudara
mereka atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki atau anak bagi
saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam
atau hamba-hamba mereka atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang
telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan atau kanak-kanak yang
belum mengerti lagi tentang aurat perempuan dan janganlah mereka
menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari
perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai
orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya. (Surah an-Nur:31)

Inilah di ayatnya. Mari kita lihat bagaimana reaksi-reaksi wanita di zaman itu.

Saidatina
Aisyah RA menceritakan: Tatkala turun ayat "dan hendaklah mereka
menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka". maka mereka
segera merobek-robek kain-kain mereka dan bertudung dengannya. (Shahih
al-Bukhari, Kitab at-Tafsir, Bab Tafsir Surah an-Nur).

Perempuan-perempuan
zaman Rasulullah SAW dengan penuh kekuatan dan ketaatan lantas
mengoyak-ngoyak kain yang ada untuk dijadikan penutup aurat mereka.

Saya hanya mahu menyatakan tudung itu adalah lambang akidah.

Kenapa? Kerana tudung inilah salah satu hal yang membezakan kita dengan orang kafir.

Apa
buktinya? Lihatlah apa yang terjadi di Turki. Si kafir pembela-pembela
aliran Sekular mengharamkan pemakaian tudung. Apakah kita fikir mereka
akan mengharamkan pemakaian tudung sekiranya tudung ini tiada nilai di
dalam Islam. Isunya bukanlah kerana kain itu bernama tudung, isunya
kerana pemakaian tudung itulah salah satu lambang akidah Islam. Maka
untuk memadamkan cahaya akidah Islam daripada terzahir ke mata manusia,
salah satu langkahnya ialah mengharamkan pemakaian tudung.

Lihat, bukankah itu menunjukkan bahawa si kafir bedebah itu turut faham bahawa tudung itu ada nilai akidah.

Sekiranya
tudung itu tiada nilai di dalam Islam, nescaya si kafir itu tidak akan
mengharamkan pemakaiannya. Bahkan mungkin si kafir itu akan menjadikan
ia sebagai satu fesyen yang popular. Tapi kerana ia ada nilai akidah,
si kafir tidak mahu menerimanya. Nampaknya si kafir ini amat memahami
ayat terakhir surah al-Kafirun "Bagimu agamamu, bagiku agamaku".

Itulah
nilai tudung. Tapi nilai itu seakan hilang di bumi Malaysia tercinta
ini. Kerana apa? Kerana nilai akidah pada tudung itu tidak dapat
dilihat. Nilai akidah pada tudung mungkin hanya dapat dilihat apabila
ia diharamkan oleh pihak-pihak kafir. Adakah kita mahu menunggu
sehingga ia diharamkan di dalam negara kita, baru kita mahu memahami ia
ada nilai akidah.

Mungkin, sudah tiba masanya pelajar-pelajar
sekolah ditanamkan kefahaman bahawa menutup aurat itu adalah satu nilai
akidah. Bukan hanya isu feqh dan hukum sahaja. Ia adalah nilai aqidah,
kerana itu si kafir memusuhi sehelai kain bernama tudung itu.

Wallahu’alam.

Apa Komen Kalian Untuk Usrah Ini?

Apa Komen Kalian Untuk Usrah Ini?

Assalamualaikum WBT.

Saya mendapat mesej di bawah di dalam
ruangan komen, atas permintaan penulis, komen itu tidak disiarkan
kerana ia akan mendedahkan identiti penulis dan usrah yang disertainya.

Apa komen kalian. Insya-Allah, komen saya akan menyusul dalam posting seterusnya.

Wsalam wbt
syukran jazeelan atas komen yg lepas & cadangan akh. InsyaALLAH, saya akan berbincang dgn rakan2 tentang cadangan tersebut.

Soal
haid, istihadhah, etc mmg tak pernah putus. Wpun banyak buku yg
berkisar ttg masalah tersebut, masih byk persoalan yg perlu dijawab
disebabkan apa yg tertulis di buku adakalanya tidak mampu diterjemah
utk menjawab persoalan waqi’ie. seorang pembimbing tetap diperlukan.

Saya
akui sem lepas saya terlalu jarang menghadiri kuliah2 anjuran ******.
Kesibukan tak boleh dijadikan alasan. Mungkin kdgkala semangat luntur
apabila tiada kawan yg mengingatkan.

Lagi pula, buat
pengetahuan akh masri, saya di sini ada menyertai usrah bawah *******.
Dari matrik saya dah menyertai. Mmg agak terbatas utk saya menyertai
prog2 ******* terutama apabila ada pertembungan. Jika tidak ke prog
usrah, saya pasti ditanya.

Saya suka menyertai usrah tersebut, tapi sering ada perkara yg membuatkan saya tertanya2.

Paling
penting, apabila naqibah memberitahu bhw setiap apa yg saya ingin
sertai (selain usrah *******), saya perlu mendapat keizinan naqibah.
even utk pulang ke kampung saya perlu memberitahu naqibah. hati saya
tidak tenang utk menerima semua ini. tapi saya tau pasti sukar utk saya
menarik diri dari menyertai usrah.

Apa pendapat akh ttg keadaan saya ini?? Harap komen ini tidak disiarkan di blog akh. terima kasih.

Sinopsis Syabab Musafir Kasih

Assalamualaikum WBT.

Saya ingin menulis sedikit tentang Syabab Musafir Kasih. Jika Tautan Hati hanya mampu saya copy dan pastekan sinopsisnya, untuk Syabab Musafir Kasih, saya tidak bertemu dengan sinopsisnya di web Telagabiru, dan sinopsis-sinopsis yang saya temui di web-web lain tidak memuaskan hati saya.

Kerana novel ini sejiwa dengan saya, maka saya rasa tak salah saya memberi sedikit komen dan menceritakan secara ringkas jalan ceritanya.

Syabab seorang anak yatim, yang kematian bapanya. Dia tinggal bersama ibunya dan juga abang dan kakaknya yang bermasalah. Abang da kakaknya adalah golongan yang bermasalah di dalam kampung itu. Lantaran hal tersebut, ibu mereka sering dicaci oeh orang kampung. Syabab pula dengan kenakalannya.

Disebalik cacian orang kampung, masih ada insan yang bersimpati dengan Syabab, iaitu Nur Mumtazah. Beliau seorang pelajar universiti tempatan yang kemudiannya melanjutkan pelajaran ke Syria. Beliau banyak mengajar adab-adab kepada Syabab, mendidik Syabab.

Nur Mumtazah mempunyai dua orang adik iaitu Imtiyaz dan Nur Najihah. Imtiyaz rapat dengan Syabab, manakala akaknya, Najihah sebagaimana orang kampung yang lain, membenci Syabab.

Kisah ini menarik dengan watak Syabab yang sangat menyayangi Nur Mumtazah. Sekiranya Syabab terlalu nakal, maka Nur Mumtazah akan mengugut dengan menyatakan "Nanti akak balik U". Dan Syabab apabila mendengar kata-kata itu nescaya dia akan menghentikan perbuatan nakal itu.

Nur Mumtazah melanjutkan pelajaran ke Syria, bagai satu halilintar bukan sahaja buat Syabab, bahkan buat Mumtazah. Linangan air mata mengiringi pemergian Mumtazah. Si ibu hairan, apakah anak perempuannya itu menangis kerana mahu berpisah dengan ibunya atau kerana tak sampai hati meninggalkan Syabab keseorangan. Air mata itu buat Syabab. Syabab merayu Mumtazah jangan pergi dan berjanji tidak akan nakal lagi.

Pemergian Mumtazah, ditangisi Syabab. Dia bercampul dengan budak-budak nakal yang sebelum ini selalu membulinya. Dia mengenali rokok, gam walaupun dia tidak sampai menghisap gam itu. Walaupun begitu, orang kampung memberikan kepercayaan kepada Syabab untuk mengembala lembu-lembu mereka.

Kepulangan Mumtazah, bersama suaminya Ustaz Mursyid, menemukan mereka dengan Syabab yang berbeza. Syabab yang telah berkerjaya sebagai pengembala lembu orang kampung. Mereka cuba memujuk Syabab untuk sambung belajar. Kedegilan Syabab luntur jua di tangan mereka.

Di sebalik semua itu, Syabab seorang yang pintar dalam subjek Bahasa Arab dan Agama.

Syabab tidak mengambil SPM, dia lari ke bandar, bertemu seorang budak Cina yang meminati bidang aminasi. Dia mendapat pula kerja sebagai model.

Akhirnya Syabab kembali ke kampung, menjadi seorang dai’e yang teguh dengan pendiriannya. Dan apa kesudahannya?

Tiada cerita tanpa cinta Adam dan Hawa. Sudah pasti dalam novel ini disentuh jua. Syabab menyambung belajar di bumi Syria. Bumi yang sama dihuni oleh Najihah dan Imtiaz. Najihah masih memandang rendah Syabab. Dia tidak tahu Syabablah pemuda yang disayangi ulama Syiria Shaikh al-Habnakah. Syabab pernah menentang seorang polis yang menangkap Shaikh al-Habnakah di dalam masjid. Ketika itu, Shaikh sedang membacakan kitab al-Iqna’ dalam bab jihad. Tanpa disedari, Syabab jua sebenarnya sedang bertalaqqi membaca al-Quran bersama salah seorang saudara Shaikh al-Habnakah.

Konflik demi konflik muncul di dalam novel ini. Bagaimana dengan Ustaz Mursyid yang dulunya kental dengan jiwa dakwah kepada penduduk kampung, akhirnya luntur dan tenggelam dengan kehidupan dunia, sedangkan Mumtazah merindui suaminya yang dahulu, dai’e kepada penduduk kampung.

Konflik bagaimana Syabab cuba menangani kakaknya yang menjalin hubungan dengan bekas teman Syabab yang juga seorang samseng dan sekarang ditambah dengan mat rempit. Akhirnya ada nyawa yang terkorban dalam misi suci Syabab membebaskan akaknya dari dunia remit. Nyawa siapakah yang terkorban?

Pengakhiran cerita, bagaimana Najihah meminati Syabab, dan Syabab meminati pula Mumtazah yang sudah kematian suami, menjadi balu dengan beberapa orang anak. Syabab memilih Mumtazah berbanding Najihah yang masih dara dan cantik. Cinta Syabab teruji.

Sebelum bernikah, Syabab di saji dengan dua pilihan yang lain, Najihah dan jua cucu Shaikh al-Habnakah. Syabab memilih Mumtazah jua.

Tapi pernikahan tidak terhenti disitu. Shaikh al-Habnakah masih mengharapkan Syabab. Mumtazah rela berkorban, diam-diam, dia sudah berutus emel dengan cucu Shaikh. Apa pula pendirian Syabab?

Wallahu’alam.

Sinopsis Tautan Hati

.

Tajuk Buku:

Tautan Hati

Pengarang:

Fatimah Syarha Mohd. Noordin

Terbitan:

Telaga Biru Sdn. Bhd.

Harga:

RM 29.90 (Semenanjung);

RM 39.90 (Sabah & Sarawak)

Ketebalan novel:

785 mukasurat

Asiah
Yusra , namanya seindah peribadinya. Dirinya begitu istimewa terutama
di kalangan rakan-rakannya yang begitu memerlukan madu dakwah untuk
disajikan sebagai manisan kehidupan mereka.

.

Pelbagai
langkah dakwah yang diatur pada awalnya sentiasa dilanggar badai yang
sengaja dihembus iblis sebagai penghalang usaha murninya. Namun,
halangan-halangan tersebut dipandang Asiah Yusra hanyalah cabaran kecil
yang telah ditentukan Allah s.w.t. sebagai bukti betapa Allah s.w.t.
mengurniakan cabaran tersebut hanya kepada hamba-Nya yang dikasihi.

Berputus
asa seakan-akan tidak wujud dalam kamus hidupnya. Begitulah tingginya
tahap keimanan serta kecekalan gadis dari Taman Islam ini. Lagaknya
seakan-akan pahlawan silam terunggul Solahuddin Al-Ayyubi. Imtisal,
Hana, Laiyyinul Harir, Muslimah (Christine), Wildan dan Aisya Bazella
ditaklukinya dengan senjata halaqoh beserta keikhlsan yang menggunung
dengan harapan sahabat-sahabatnya itu dapat bergerak seiring dengannya
ke jalan yang diredhai.

Setiap dari mereka mempunyai masalah
yang tersendiri. Imtisal dengan tragedi keluarga yang tak berkesudahan,
Hana pula merupakan mangsa keadaan apabila dijodohkan dengan pemuda
yang bukan menjadi pilihan hatinya manakala Layyinul Harrir pula hanyut
dalam arus percintaan sesama insan yang tidak menjanjikan sebarang
kebaikan yang hakiki.

Wildan (adik Imtisal) pula merupakan anak
gadis yang sering memberontak dek kerana latar belakang keluarganya
yang porak peranda manakala Muslimah (Christine) dengan pegangan
Kristian yang menebal dan sentiasa menyampaikan ajaran pegangannya
dengan cara yang tersendiri. Aisya Bazella pula anak gadis kota yang
pengisian hidupnya hanyalah dipenuhi dengan maksiat dan akhirnya
terkulai layu di pangkuan haiwan jantan bertopengkan manusia.

.

Walaupun
sahabat-sahabatnya itu hadir dari latar-belakang yang berbeza dan penuh
pancaroba, Asiah Yusra tidak pernah menganggap mereka sebagai satu
beban yang menyusahkan. Sebaliknya, dia percaya dengan proses tarbiah
yang berkesan, mereka bukan sahaja boleh diubah, tetapi juga berpotensi
untuk menjadi penyambung usahanya dalam menyebarkan dakwah Islamiyyah
kepada mereka yang memerlukannya.

Ketika gigih menyebarkan
dakwah, Asiah Yusra yang sentiasa mendapat sumber inspirasi dari
sahabat sejatinya Elya Khadeeja, didatangi satu lagi cabaran duniawi
apabila dirinya mendapat perhatian Umar al-Mujahid dan al-Banna, dua
pemuda soleh yang juga berasal dari Taman Islam.

Namun, berkat
keimanan yang tinggi serta kepercayaan yang menyeluruh bahawa hanya
Allah s.w.t. sahaja yang wajar dicintai, Asiah Yusra tetap meneruskan
usahanya dalam bidang tarbiah di samping bertawakkal serta menyerahkan
sepenuhnya kepada yang Esa agar dianugerahkan pasangan hidup yang boleh
membawanya ke jalan Allah s.w.t.

Adakah usaha tarbiahnya akan
berhasil? Bagaimanakah kesudahan hidupnya? Siapakah yang telah
ditentukan Illahi untuk menjadi pasangan hidup Asiah Yusra? Al-Banna
atau Umar al-Mujahid? Segalanya pasti terjawab sekiranya anda membaca
novel sulung keluaran Telaga Biru Sdn. Bhd. berjudul Tautan hati.

Novel
hasil karya novelis Sayembara Novel Remaja Jubli Emas DBP 2006, Fatimah
Syarha Mohd ini mengisahkan kehidupan gadis istimewa, Asiah Yusra yang
sentiasa meletakkan dakwah Islamiah sebagai nadi kehidupannya. Ramai di
antara rakan-rakannya yang tertarik dengan keperibadiannya yang tinggi.
Keistimewaan novel ini bukan sahaja terletak pada jalan ceritanya yang
menarik, tetapi juga kebolehan penulis untuk menerangkan isu-isu yang
sering dipandang remeh oleh masyarakat kita seperti isu bertudung
labuh, kaedah pergaulan di antara muhrim yang dituntut Islam, soal
psikologi dan sebagainya. Segala penerangan tersebut telah berjaya
disampaikan dengan penuh hikmah dan anda yang membacanya pasti
tersenyum puas setelah selesai membaca novel ini.

Untuk maklumat lanjut mengenai buku ini, sila hubungi 03-26914070 ataupun sila layari www.telagabiru.net.my

source:TelagaBiru

Hati ku tertaut pada tiga novel ini

Assalamualaikum WBT.

Hari ini aku usai membaca dua buah novel yang ditulis oleh pelajar UIAM, Fatimah Syarha Bte Mohd Noordin. Tajuk novel itu ialah “Syabab Musafir Kasih” dan “Tautan Hati”.

Kewujudan novel Tautan Hati sudah lama aku ketahui, sering jua aku lihat di kedai-kedai buku, tapi masih tidak tergerak untuk membelinya.

Sehinggalah kelmarin, di sebuah kedai buku-buku Agama di Puduraya, aku mencari-cari buku Ustaz Hasrizal yang bertajuk “Aku Terima Nikahnya”. Alhamdulillah, aku temui buku itu.

Aku meneliti novel-novel yang ada. Aku tertarik pula pada Tautan Hati. Nampaknya novel ini benar-benar menaut hati aku, bahkan ia terus menaut aku untuk membelanjakan duit yang ada untuk satu lagi novel oleh penulis yang sama iaitu Syabab Musafir Kasih.

Selesai membaca kedua-dua novel ini, puas membacanya. Tidak rugi. Cuma kadangkala isi novel Tautan Hati mungkin tidak serasi dengan aku. Aku tidak hidup dengan dunia usrah, halaqah. Mungkin aku kurang faham kenapa di dalam usrah hal-hal peribadi sahabat-sahabat jua sibuk, boleh jadi ambil berat dan boleh jadi menjaga tepi kain. Tidak adil aku menilai kerana aku bukanlan manusia yang pernah melalui kehidupan berusrah mahupun berhalaqah. Aku tidak pernah lalui hidup seperti itu, maka mungkin aku tak rasai kemanisannya. Cuma aku sendiri melihat kesan didikan di dalam usrah kepada seorang sahabat persekolahanku sejak tingkatan satu hingga lima. Perubahan drastiknya sejak di matrik mungkin menunjukkan kuatnya didikan yang dia terima dari usrahnya.

Aku lebih terkesan dengan Syabab Musafir Kasih. Aku lebih selesa dengan novel ini, ia lebih sesuai dengan jalan hidup aku, aku lebih seronok membacanya (tapi membaca bukan hanya untuk seronok sahaja bukan!). Jika ditanya aku mana yang lebih best? Pasti aku jawab Syabab Musafir Kasih. Bagi aku cerita di dalamnya penuh dengan nilai kemanusiaan walaupun nilai itu wujud jua di dalam Tautan Hati, cuma aku lebih tersentuh dengan kisah anak yatim di dalam Syabab Musafir Kasih. Aku lebih menyukai kisah kehidupan di kampung dengan pacat, lembu dan lain-lain. Dan aku merasakan novel Syabab Musafir Kasih lebih banyak memberi motivasi.

Kelmarin, aku jua mencapai sebiji novel yang tidak aku kenali siapa penulisnya. Aku mencapainya hanya kerana tertarik dengan sinopsis di kulit belakang. Itulah aku. Aku mungkin payah nak tertarik dengan handphone baru yang cantik-cantik dan mewah-mewah, tidak juga baju yang lawa-lawa atau beg-beg yang lasak-lasak. Aku lebih mudah cair dengan sinopsis buku-buku yang aku baca. Dan tak hairan kadangkala aku ditipu dengan sinopsis yang menarik sedangkan isi kandungannya tak sebagus mana. Tajuk buku itu ialah Suzanna, aku tertarik dengan snospisnya yang menceritakan konflik mempertahankan akidah yang cuba dicabar seseorang. Aku belum membaca novel ini.