Sinopsis Tautan Hati
.
Tajuk Buku:
Tautan Hati
Pengarang:
Fatimah Syarha Mohd. Noordin
Terbitan:
Telaga Biru Sdn. Bhd.
Harga:
RM 29.90 (Semenanjung);
RM 39.90 (Sabah & Sarawak)
Ketebalan novel:
785 mukasurat
Yusra , namanya seindah peribadinya. Dirinya begitu istimewa terutama
di kalangan rakan-rakannya yang begitu memerlukan madu dakwah untuk
disajikan sebagai manisan kehidupan mereka.
.
Pelbagai
langkah dakwah yang diatur pada awalnya sentiasa dilanggar badai yang
sengaja dihembus iblis sebagai penghalang usaha murninya. Namun,
halangan-halangan tersebut dipandang Asiah Yusra hanyalah cabaran kecil
yang telah ditentukan Allah s.w.t. sebagai bukti betapa Allah s.w.t.
mengurniakan cabaran tersebut hanya kepada hamba-Nya yang dikasihi.
Berputus
asa seakan-akan tidak wujud dalam kamus hidupnya. Begitulah tingginya
tahap keimanan serta kecekalan gadis dari Taman Islam ini. Lagaknya
seakan-akan pahlawan silam terunggul Solahuddin Al-Ayyubi. Imtisal,
Hana, Laiyyinul Harir, Muslimah (Christine), Wildan dan Aisya Bazella
ditaklukinya dengan senjata halaqoh beserta keikhlsan yang menggunung
dengan harapan sahabat-sahabatnya itu dapat bergerak seiring dengannya
ke jalan yang diredhai.
Setiap dari mereka mempunyai masalah
yang tersendiri. Imtisal dengan tragedi keluarga yang tak berkesudahan,
Hana pula merupakan mangsa keadaan apabila dijodohkan dengan pemuda
yang bukan menjadi pilihan hatinya manakala Layyinul Harrir pula hanyut
dalam arus percintaan sesama insan yang tidak menjanjikan sebarang
kebaikan yang hakiki.
Wildan (adik Imtisal) pula merupakan anak
gadis yang sering memberontak dek kerana latar belakang keluarganya
yang porak peranda manakala Muslimah (Christine) dengan pegangan
Kristian yang menebal dan sentiasa menyampaikan ajaran pegangannya
dengan cara yang tersendiri. Aisya Bazella pula anak gadis kota yang
pengisian hidupnya hanyalah dipenuhi dengan maksiat dan akhirnya
terkulai layu di pangkuan haiwan jantan bertopengkan manusia.
.
Walaupun
sahabat-sahabatnya itu hadir dari latar-belakang yang berbeza dan penuh
pancaroba, Asiah Yusra tidak pernah menganggap mereka sebagai satu
beban yang menyusahkan. Sebaliknya, dia percaya dengan proses tarbiah
yang berkesan, mereka bukan sahaja boleh diubah, tetapi juga berpotensi
untuk menjadi penyambung usahanya dalam menyebarkan dakwah Islamiyyah
kepada mereka yang memerlukannya.
Ketika gigih menyebarkan
dakwah, Asiah Yusra yang sentiasa mendapat sumber inspirasi dari
sahabat sejatinya Elya Khadeeja, didatangi satu lagi cabaran duniawi
apabila dirinya mendapat perhatian Umar al-Mujahid dan al-Banna, dua
pemuda soleh yang juga berasal dari Taman Islam.
Namun, berkat
keimanan yang tinggi serta kepercayaan yang menyeluruh bahawa hanya
Allah s.w.t. sahaja yang wajar dicintai, Asiah Yusra tetap meneruskan
usahanya dalam bidang tarbiah di samping bertawakkal serta menyerahkan
sepenuhnya kepada yang Esa agar dianugerahkan pasangan hidup yang boleh
membawanya ke jalan Allah s.w.t.
Adakah usaha tarbiahnya akan
berhasil? Bagaimanakah kesudahan hidupnya? Siapakah yang telah
ditentukan Illahi untuk menjadi pasangan hidup Asiah Yusra? Al-Banna
atau Umar al-Mujahid? Segalanya pasti terjawab sekiranya anda membaca
novel sulung keluaran Telaga Biru Sdn. Bhd. berjudul Tautan hati.
Novel
hasil karya novelis Sayembara Novel Remaja Jubli Emas DBP 2006, Fatimah
Syarha Mohd ini mengisahkan kehidupan gadis istimewa, Asiah Yusra yang
sentiasa meletakkan dakwah Islamiah sebagai nadi kehidupannya. Ramai di
antara rakan-rakannya yang tertarik dengan keperibadiannya yang tinggi.
Keistimewaan novel ini bukan sahaja terletak pada jalan ceritanya yang
menarik, tetapi juga kebolehan penulis untuk menerangkan isu-isu yang
sering dipandang remeh oleh masyarakat kita seperti isu bertudung
labuh, kaedah pergaulan di antara muhrim yang dituntut Islam, soal
psikologi dan sebagainya. Segala penerangan tersebut telah berjaya
disampaikan dengan penuh hikmah dan anda yang membacanya pasti
tersenyum puas setelah selesai membaca novel ini.
Untuk maklumat lanjut mengenai buku ini, sila hubungi 03-26914070 ataupun sila layari www.telagabiru.net.my
source:TelagaBiru
